PELANTIKAN bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat berdasarkan kelayakannya.
Anwar berkata ini kerana anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Bagaimanapun, beliau berkata Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun atas pelantikannya itu.
“Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi saya pernah jadi Menteri Kewangan selama lapan tahun. Menteri-menteri dalam Perikatan Nasional (PN) pun tiada kelulusan masing-masing, tetapi bila giliran kita, mereka bangkitkan.
“Jadi, apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Dan seorang menteri air mesti jurutera? Untuk Nurul Izzah, dia ada ijazah kejuruteraan dan ijazah bidang dasar awam. Memang saya minta, pelawa dia untuk bantu saya sebagai penasihat di JPM dan MOF,” katanya.
BERITA BERKAITAN Nurul Izzah dilantik penasihat kanan ekonomi, kewangan PM
Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian selepas merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Tambun di sini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Mohamad Arafat Varisai Mahamad.
Terdahulu, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Jan lalu.
Sementara itu, Anwar dalam ucapan perasmiannya berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarah mengambil tindakan kepada pihak yang terbabit dalam amalan rasuah tanpa mengambil kira parti dan jawatan pihak berkenaan, termasuk pihak yang bertugas di Pejabat Perdana Menteri.
“Kaya bagaimana pun negara ini, tidak mungkin kita angkat darjat dan martabat negara ini serta bela nasib rakyat sebab itu saya kata yang pertama sekali adalah betulkan uris tadir yang baik dan kedaulatan undang-undang.
“Mula daripada atas, daripada Perdana Menteri sampai Menteri, Menteri Besar, kerajaan negeri dan wakil rakyat hentikan amalan dan budaya rasuah ini,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram