
MUKADIMAH: Kebanjiran etnik Rohingya di Malaysia sering menjadi perdebatan umum – ada yang menentang, ada juga yang menzahirkan rasa simpati dengan nasib dialami etnik tersebut. Namun, tingkah laku etnik Rohingya dikatakan semakin menjadi bebanan kepada negara. Ikuti pendedahan siri akhir oleh wartawan, AFIQ MOHD SHAH, IZZAT NASURUDEN; jurugambar, ABD RAZAK AID dan juruvideo, AIZZAT JAILANI berhubung etnik Rohingya yang dikatakan semakin ‘bermaharajalela’ di Melaka.
“JIKA tak boleh dihantar ke negara ketiga, nak biarkan di Malaysia, jadi (kita) asingkan mereka (etnik Rohingya), biar mereka duduk dalam kelompok mereka sahaja.”
Itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berhubung kebanjiran etnik Rohingya yang makin meningkat di kawasan tersebut.

Bukan menidakkan soal kemanusiaan, namun Mohd Noor Helmy menegaskan, sikap dan tindak tanduk kebanyakan etnik Rohingya terutama di Jalan Pulau Senang 3, Semabok itu sudah semakin melampau.
Dalam tempoh hanya tiga tahun, bermula dengan kira-kira 60 orang, jumlah etnik tersebut di Semabok telah meningkat kepada lebih 200 orang.
Bahkan, peningkatan kehadiran etnik Rohingya di kawasan itu telah mencetuskan masalah sosial sehingga berlakunya kes cabul baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, etnik Rohingya di kawasan itu juga didakwa mengabaikan soal kebersihan dengan membiarkan anak-anak membuang air di merata tempat.

Malah, ada juga yang mengganggu ketenteraman awam termasuk membaling batu ke arah kenderaan dan mengugut apabila ditegur.
Tegas Mohd Noor Helmy, pengasingan adalah jalan terbaik untuk memastikan warga tempatan kembali berasa selesa di tanah air sendiri.
“Mereka tak boleh dan tidak mahu menerima budaya kita, takkan kita pula nak terima budaya mereka. Ini tempat kita.
“Dah bagi duduk sama, kita pula kena beralah dan terpaksa biasakan diri dengan tabiat mereka. Jadi kena asingkan, paling tidak pun warga tempatan akan berasa selamat, tak risau nak balik ke rumah sendiri,” katanya kepada UtusanTV baru-baru ini.
Baca artikel berkaitan: Rohingya di Melaka: Malaysia tunduk kepada kad ‘kebal’ UNHCR?
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy menegaskan penyelesaian tuntas perlu dilakukan dalam keadaan segera termasuk menggubal undang-undang bagi membolehkan etnik Rohingya mencari pekerjaan.
Namun, kata beliau, kawalan kepada etnik Rohingya itu perlu diletakkan di bahu majikan apabila golongan itu dibenarkan bekerja.
“Ketika ini ada dalam kalangan mereka berniaga tanpa sekatan cukai. Rakyat tempatan nak berniaga pun terikat dengan undang-undang tapi mereka bebas buat apa sahaja.
“Di situ pun seolah-olah kita tak layan rakyat kita sendiri dengan adil. Lagi nak cerita tentang kemanusiaan.
“Apa yang diperjuangkan sesetengah pihak tiga ke empat tahun kebelakangan ini adalah untuk membenarkan mereka (etnik Rohingya) bekerja.
“Kalau nak benarkan, buat seperti yang dilakukan kepada warga asing lain. Daftarkan dan letakkan kebertanggungjawaban mereka itu kepada majikan.

“Paling tidak kita tahu siapa kita nak ‘pegang’ jika berlaku sesuatu,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan terus membawa isu ini kepada umum, Mohd Noor Helmy menjawab: “Tugas saya menjaga Duyong, paling tidak pun di Duyong ini dah kosong sudahlah.”
Menggunakan medium TikTok untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, Mohd Noor Helmy turut mengakui menerima komen berhubung soal kemanusiaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, nasib rakyat tempatan perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Yang memberi komen seperti itu, saya cuma nak tanya, sebelah rumah anda ada tanah kosong? Beri alamat supaya kita pindahkan ke sana. Itu sahaja.
“Saya tak mahu tahu tempat lain usahanya bagaimana tetapi di Duyong, tempat mereka (etnik Rohingya) bukan di sini. Nak kasihan? Silakan.
“Jangan bercakap sahaja tetapi tidak buat apa-apa. Jangan tahu mempersenda orang lain tetapi rakyat kita jadi mangsa. Jadi, kawal sebelum parah,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram