Cara menunjukkan kasih sayang berbeza di antara satu pasangan dan pasangan yang lain. Lambang percintaan biasanya terpamer menerusi sentuhan secara fizikal, paling digemari melalui pelukan dan hubungan intim suami isteri.
Pasangan yang telah berumah tangga seharusnya komited dengan tuntutan nafkah batin sesama sendiri agar mahligai yang terbina selamanya bahagia dan sentosa.
Tetapi, sejauh manakah perhubungan intim di antara anda berdua berlaku? Adakah hangat sama seperti mula-mula berkahwin ataupun sudah mulai berasa dingin kini?
Anda tidak pasti sama ada diri anda masih dihargai sang suami walaupun hubungan kelamin anda tidak berlangsung sebagaimana yang anda mahukan?
Lelaki memang sukar untuk diselami isi hatinya. Antara alasan yang kerap diberikan si suami adalah kerap letih dan tidak berupaya untuk melayani anda seadanya.
Sebagai isteri anda perlu mengetahui dan sekali gus, memahami faktor penyebab mengapa suami bersikap dingin sewaktu berada di bilik tidur.
KURANG TIDUR
Kebiasaannya, lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an, keinginan mereka untuk melakukan seks melebihi daripada keperluan tidur, terutama sekali di malam hari. Namun, ia berlaku hanya pada awal perkahwinan.
Semakin meningkat usia perhubungan anda berdua, semakin kurang dorongan untuk melakukan hubungan intim kerana mereka beranggapan, tidur sebenarnya aktiviti yang paling baik dilakukan pada waktu malam.

BERADA DI ZON SELESA
Jika anda merupakan pasangan yang telah lama berkahwin dan memiliki beberapa orang cahaya mata, anda mungkin mengalami masalah kerana berada dalam zon selesa. Maksudnya, seseorang akan mula selesa dengan perkahwinannya dan akan mula mengabaikan perkara-perkara tertentu dalam perhubungan suami isteri termasuklah soal seks.
Hubungan kelamin tidak lagi menjadi kemestian dalam menunjukkan kasih sayang terhadap pasangan.
TERLALU SIBUK
Masa kini, ramai pasangan yang sama-sama bekerja kerana tuntutan ekonomi yang semakin mendesak setiap hari. Sibuk dengan urusan kerja adalah salah satu faktor yang menyebabkan sesetengah pasangan dingin seks.
Kesibukan di pejabat dan kadangkala sehingga terpaksa membawa pulang tugasan ke rumah, boleh membawa kepada stres dan seterusnya menghilangkan keinginan terhadap seks.

TIADA LAGI DAYA TARIKAN
Daripada mata jatuh ke hati, begitulah umpamanya anda dan juga pasangan, saling cinta-mencintai dan seterusnya mengikat pertalian menerusi perkahwinan. Namun, ramai wanita yang mengabaikan aspek penjagaan diri terutama sekali kecantikan tubuh badan dan wajah. Suami akan merasa kehilangan daya tarikan fizikal terhadap anda dan jangan sesekali, salahkan mereka jika si dia mengabaikan keperluan batin anda.
Selain itu, faktor usia juga memainkan peranan. Semakin tua seseorang itu, semakin banyak masalah berkaitan kesihatan akan timbul yang mana ia boleh menjejaskan perhubungan suami isteri.
BERCANGGAH KEMAHUAN
Sudah menjadi sifat semula jadi lelaki, mahukan seorang isteri yang memiliki sifat keibuan serta mampu melayaninya dengan sebaik mungkin. Jika anda tergolong dalam kelompok isteri yang sudah tidak lagi berdandan dan berhias diri di rumah, mungkin anda akan mengalami masalah besar kerana lelaki menginginkan si isteri tampak menarik, seksi dan merangsangkan.
Walaupun anda adalah seorang suri rumah yang terpaksa bergelut saban hari dengan rutin-rutin harian seperti menjaga anak, mengemas rumah dan sebagainya, jangan sesekali mengabaikan kecantikan diri. Sudah tentu anda tidak mahu suami anda hilang keinginan seks terhadap anda, bukan?
TIDAK JAGA EMOSI
Belaian penting dalam memupuk hubungan seks yang baik. Pasangan yang saling membelai di antara satu sama lain lebih bersedia untuk melakukan hubungan kelamin. Bagaimanapun, titikberatkan soal emosi pasangan kerana seks bukan sekadar satu aktiviti fizikal semata-mata, bahkan ia lebih daripada itu.
Jangan memaksa diri sekiranya anda berdua tidak bersedia untuk melakukannya. Ada masanya, suami anda hanya inginkan belaian seperti memegang tangan dan memeluk bagi menyatakan perasaan kasih sayangnya.
SUASANA TIDAK SESUAI
Selain daripada menentukan masa yang sesuai untuk bersama, suasana dalam bilik tidur juga memainkan peranan dalam membentuk mood positif untuk melakukan seks. Mungkin suami anda tidak suka dengan keadaan rumah yang berselerak dan tidak berkemas.
Cuba ubah suasana tersebut dengan memastikan rumah terutamanya kamar tidur sentiasa bersih dan menarik. Hiaslah kamar tidur dengan haruman seperti lilin wangi dan semburan pewangi bilik.

ALAMI MASALAH KELELAKIAN
Suami yang mengalami masalah ereksi gagal berfungsi seperti mana normal akan mengelak daripada melakukan hubungan seks dengan isteri. Kegagalannya memenuhi kehendak pasangan menjadikan mereka merasa rendah diri dan akhirnya, memilih untuk tidak terlibat dalam perhubungan fizikal langsung.
Jalan terbaik adalah berbincang dengan pasangan tentang perkara tersebut. Elakkan daripada membuat sebarang kritikan, mahupun merungut tentang kemampuannya melayani anda. Dapatkan khidmat nasihat daripada doktor pakar agar masalah dapat diselesaikan demi kerukunan rumah tangga anda berdua.