BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum terlambat untuk memperbetulkan kesilapan demi kesilapan yang dilakukannya sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan sebagai Perdana Menteri.
Kesilapan terbarunya menurut Muhyiddin adalah melantik Nurul Izzah sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri yang bukan sahaja memburukkan imejnya tetapi juga menjejaskan perkembangan politik anaknya itu yang merupakan pemimpin muda berpotensi besar.
“Nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri. Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar.
“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah,” katanya melalui kenyataan di Facebook miliknya hari ini..
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) pimpinan Anwar Ibrahim tidak bermula dengan langkah yang betul sejak dari awal penubuhan kerajaan persekutuan lagi.
“Janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ini dilakukan semata-mata kerana membalas “budi” Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya.
BERITA BERKAITAN Bukan isu kelayakan tapi konflik kepentingan, Syahir sindir pelantikan Nurul Izzah
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi ketika penubuhan kerajaan yang mana mereka menjalankan transaksi politik yang berlandaskan amalan “you scratch my back, I scratch your back”.
“Bukan setakat itu sahaja, janji Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin,” katanya.
Katanya, kesilapan terbaharu adalah apabila beliau melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat. Pelantikan ini menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.
“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan Reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri,” katanya.
Katanya, sebagai pemimpin parti pembangkang beliau boleh mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya tetapi sebagai rakyat biasa, beliau tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri.
“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar.
“Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib, adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama,” tambahnya.
Muhyiddin juga mencadangkan agar Zahid Hamidi diarahkan mengambil cuti sehingga kesnya selesai.
“Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masihdibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram