PASAR basah sering menjadi tempat warga asingg berniaga di sekitar Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

SUDAH kerap kali digempur tetapi ramai peniaga warga asing tetap degil menjalankan aktiviti perniagaan di ibu kota. Penulis memberi tumpuan kepada ibu kota kerana di sinilah dianggap lubuk peniaga asing menjalankan operasi.

Ada sahaja kesempatan, ada sahaja ruang, aktiviti berjalan. Namun mereka silap jika menyangka pihak penguatkuasa, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), alpa. Malah DBKL kini semakin agresif memantau tindak tanduk serta menumpas kegiatan mereka.

Antara tindakan terbaharu, DBKL melaksanakan tindakan membanteras peniaga warga asing di pusat tumpuan utama peniaga tersebut di Pasar Borong Kuala Lumpur serta Pusat Bandar Utara.

DBKL juga menyerbu dan menutup beberapa premis perniagaan pada pemeriksaan di pusat beli belah popular Berjaya Times Square (BTS) di Bukit Bintang. Serbuan juga dilakukan di premis sekitar Pusat Borong Kenanga di Jalan Kenanga.

Ini adalah sekadar contoh usaha agresif dan komitmen DBKL membanteras peniaga warga asing, sejajar dengan peraturan mereka tidak dibenar terlibat dengan aktiviti perniagaan di negara ini. Tentu tindakan seperti ini juga dijalankan di tempat-tempat lain seluruh negara oleh pihak berkuasa tempatan negeri-negeri.

Kenapa warga asing terus menerus berani menjalankan aktiviti tidak dibenarkan? Tentunya kerana mampu mengaut untung lumayan memperkaya diri. Menyedari perniagaan mendapat sambutan, mereka sedia menanggung risiko diserbu.

BERITA BERKAITAN 200 warga asing mogok dekat Amber Court, polis tahan dua lelaki

Setengah peniaga ini pandai pula bermain silap mata dengan pihak penguatkuasa. Ada sahaja kaedah serta kelicikan mereka mengabui mata penguatkuasa. Namun sepandai-pandai tupai melompat jatuh juga ke tanah.

Mereka datang dengan permit lain, mungkin sebagai pekerja sektor tertentu tetapi mengambil peluang berniaga, kadang kala sehingga menjejaskan peniaga tempatan. Malah mungkin ada yang datang tanpa permit.

Degil dan berani mencabar penguatkuasa sudah menjadi ciri. Walau pun setelah diambil tindakan mereka tidak putus asa melakukan kesalahan lagi. Jika datang tanpa permit atau menyalah guna permit, lagilah berganda kesalahan mereka.

Kerana itu DBKL tidak memberi muka, menyedari hanya pemantauan berterusan mampu membanteras kegiatan mereka. Usaha DBKL wajar dihargai memandangkan mereka perlu sentiasa waspada, tidak boleh leka.

Peniaga warga asing akan sentiasa mengintai peluang menjalankan aktiviti dilarang bila merasakan ada ruang. Mereka anggap diri seperti pelanduk yang cerdik dan sering lupakan jerat. Tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

Pasar Borong Kuala Lumpur kerap menjadi tumpuan operasi DBKL memandangkan ia kawasan kegemaran peniaga asing. Selain melalui pemantauan berterusan, tindakan diambil susulan aduan awam. Kompaun dikenakan terhadap peniaga sementara barangan disita.

Tindakan ini juga menampakkan betapa pentingnya kerjasama orang ramai membantu DBKL melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan lancar. Meskipun DBKL sentiasa peka dengan tindak tanduk warga asing ini, mungkin ada kalanya mereka terlepas pandang.

Kerana itu bantuan laporan orang ramai sangat dihargai dan sangat membantu. Orang ramai perlu sedar kekangan yang dihadapi oleh DBKL memantau banyak kawasan di seluruh pelusuk Kuala Lumpur. Mereka juga menghadapi kekangan kaki tangan mengawasi kawasan ibu kota yang luas.

Risikan teliti dibuat sebelum serbuan, ada kala sehingga seminggu bagi memastikan sasaran betul dan peniaga tidak mudah meloloskan diri. Ini juga kaedah operasi yang dilakukan dalam operasi di BTS.

Serbuan serentak dijalankan ke atas beberapa premis menjual pakaian, tekstil, beg, aksesori telefon, serta restoran yang dikendalikan oleh warga Bangladesh. Lihatlah hebatnya jenis perniagaan dimiliki. Barangan dijual pula berskala besar.

Tindakan menutup perniagaan diambil selaras dengan Seksyen 101 (1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Selain itu notis kompaun dikenakan terhadap premis berkenaan.

Pihak berkuasa seperti polis dan imigeresen wajar menyiasat bagaimana warga asing mudah membuka perniagaan sehingga mampu berniaga di kawasan terkenal seperti BTS yang saban waktu menjadi tumpuan ramai.

Juga penting disiasat samaada mereka memasuki negara ini dengan sah, atau melakukan kerja seperti yang tercatat dalam pas kemasukan.

Pusat perniagaan dan membeli belah yang memberi kebenaran kepada warga asing membuka ruang niaga wajar disiasat dan diminta penjelasan. Kenapa pihak pengurusan dengan mudah membenarkan ramai warga asing berniaga dalam premis mereka?

Diharap pihak DBKL akan terus kental semangat memerangi peniaga warga asing. Orang ramai pula teruslah membantu dengan menyalurkan maklumat. Dengan kerjasama erat ini, kegiatan peniaga warga asing lama kelamaan mampu dibanteras.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram