TAMADUN Wari merupakan salah sebuah tamadun yang pernah wujud di selatan banjaran Andes, Amerika Selatan. Wari ataupun dalam bahasa Sepanyol disebut Huari merupakan tamadun yang berkembang pesat sekitar abad ke lapan dan sembilan Masihi. Ia adalah sebuah empayar terawal yang memerintah Amerika Selatan sebelum ia diambil alih oleh empayar Inca.

Pada zaman kemuncaknya, empayar Wari dikatakan memiliki sehingga 40,000 orang penduduk berbanding dengan Paris yang hanya mempunyai 25,000 orang penduduk pada masa itu. Bagaimanapun, empayar ini mampu bertahan selama 500 tahun sahaja dan mengalami zaman kejatuhan pada tahun 1100 Masihi.

Empayar Wari, antara tamadun terawal di Amerika Selatan.

Namun, tidak banyak peninggalan daripada empayar Wari. Kemanakah hilangnya khazanah-khazanah empayar ini, sedangkan dahulu ia adalah sebuah empayar yang besar dan terawal di Amerika Selatan.

Ada teori mengaitkan kehilangan khazanah tersebut disebabkan proses asimilasi dari empayar Wari kepada empayar Inca. Selain itu, ia juga disebabkan oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab mencuri khazanah-khazanah tersebut. Lantaran daripada itu, banyak bukti-bukti sejarah telah hilang begitu saja.   

Pada bulan Januari 2010, Giersz, seorang ahli arkeologi dari Universiti Warsaw Poland telah menemui sebuah tapak makam seluas 110 ekar di El Castillo de Huarmey. Makam tersebut dikatakan berasal dari empayar Wari.

Beliau bersama kumpulannya telah mengesan kawasan tersebut dengan menggunakan kaedah fotografi dari udara dan peralatan pengimejan geofizik. Hasilnya mereka telah menemui satu garisan kecil di sebuah bukit yang berada diantara dua buah piramid besar. Ia menjadi petunjuk kepada kewujudan sebuah makam dibawah tanah.

Kawasan tapak makam dari empayar Wari.

Aktiviti menggali kawasan tersebut telah dilakukan secara berterusan bermula pada bulan September 2010. Hasilnya, pasukan Giersz telah menemui sebuah bilik istiadat purba dan takhta yang diperbuat daripada batu.

Di bawah bilik istiadat itu pula, terdapat satu ruang besar yang ditutup dengan batu bersaiz 30 tan. Apabila batu itu dialihkan, terdapat sebatang cokmar kayu berukir yang besar. Menurut Giersz, cokmar tersebut telah memberi petunjuk kepada penemuan makam utama.

Ahli-ahli arkeologi mengalihkan bahan timbunan tersebut dan mendapati deretan mayat dikebumikan dalam keadaan duduk dan dibalut dengan kain. Berdekatan mayat-mayat tersebut ada tiga kamar kecil yang diletakkan tiga mayat permaisuri Wari dan pelbagai barang berharga mereka termasuklah alat tenunan yang dibuat daripada emas.

Mereka juga dikebumikan bersama-sama dengan banyak lagi khazanah lain yang bertatahkan emas dan perak seperti perhiasan telinga, mangkuk perak, kapak gangsa, cawan minuman alabaster yang jarang ditemui, pisau, seramik dan lain-lain objek berharga.

Pelbagai khazanah empayar Wari ditemui di kawasan makam.

Menariknya, terdapat juga satu replika kapal dalam makam tersebut. Replika itu menggambarkan seorang pahlawan pantai yang berjuang menentang penceroboh Wari dengan menggunakan kapak.

Bagi ahli-ahli arkeologi, harta kekayaan yang ditemui pada makam ini memberi satu maklumat baru mengenai empayar Wari. Giersz berpendapat, pembinaan makam di El Castillo ini menunjukkan bahawa pemerintah Wari telah menjajah dan mengawal sistem politik di bahagian utara pantai. Ia turut memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan utara Moche.

Selain daripada kekuatan ketenteraan, Giersz berpendapat bahawa Wari telah memupuk budaya menyembah moyang diraja dikalangan rakyat dan hamba-hamba abdinya. Ini berikutan mayat permaisuri yang ditemui, dipenuhi dengan kesan kepompong serangga.

Secara tidak langsung ia telah mendedahkan bahawa mereka telah dibawa keluar dari makamnya dan terdedah kepada udara. Ini menunjukkan bahawa Wari telah meletakkan mumia ratu mereka di atas takhta dalam bilik istiadat yang membolehkan mereka yang masih hidup untuk memuliakan raja yang telah mati.  

Analisis ke atas makam dan ruang-ruang lain yang tertanam masih terus dilakukan dari masa ke semasa untuk mengetahui dengan lebih banyak tentang empayar yang telah pupus ini.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare