Jika anda bosan dengan mi biasa, mengapa tidak bertukar kepada mi telur? Mi telur sememangnya agak asing bagi kalangan masyarakat Melayu, kerana orang kita lebih gemar dengan mi kuning biasa.

Menurut sejarah, mi jenis ini berasal dari daerah Shanxi, China. Ia diperbuat daripada tepung gandum, telur, air dan garam.
Penggunaan mi di negara China bermula sejak Dinasti Han pada 260 Sebelum Masehi, dan kedai menjual mi mula bertapak pada tahun 960-1279 semasa Disnasti Song.

Mi Telur Kering & Sambal Cili

Mi telur banyak dijual di pasar raya dalam bentuk kering. Mi telur yang disimpul bulat dan tebal agak mudah digunakan. Rebus seketika, sudah lembut. Kebiasaanya masyarakat Cina, banyak menggunakan mi telur ini. Selain dijadikan mi berkuah sup, mi telur juga boleh digoreng.

Cara memasak mi telur goreng, tidak sama dengan cara memasak mi kuning biasa. Bahan untuk memasak mi telur antaranya isi ayam, udang, daging dan cendawan. Ia tidak menggunakan banyak sayuran seperti kubis, sawi, tauge dan daun kucai.

Selain itu mi jenis ini tidak digoreng menggunakan cili kering kisar, tetapi cukup dengan tumisan bawang putih, minyak bijan, sos tiram ataupun sos ikan. Penggunaan kicap juga boleh digunakan untuk mi telur. Tetapi tidak ada salahnya, jika diubah resipi mengikut selera kita. Saji sertakan dua resipi mi telur yang diolah mengikut selera kita. Jom kita cuba…

Mi Telur Berkuah

MI TELUR BERKUAH
BAHAN

4 keping mi telur
1 liter air
2 kiub pati ayam
1 paket bebola ikan
1 paket keping kek
1 batang lobak merah – hiris
8 tangkai sawi putih – hiris
3 helai daun bawang – hiris
BAHAN SAMBAL CILI
25 ulas bawang putih – cincang
3 sudu besar kepingan cili kasar
Minyak masak untuk menumis

CARA PENYEDIAAN :
1.SAMBAL CILI : Panaskan kuali, tumis bawang putih sehingga naik bau.
2.Masukkan serbuk cili, tumis sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
3.Mi telur direndam dengan air panas dan tuskan.
4.KUAH SUP : Tuangkan air ke dalam periuk, masukkan bebola ikan, kek ikan, lobak merah kiub pati ayam
5.Reneh sehingga bebola masak. Masukkan sedikit garam jika perlu.
6.Masukkan sawi dan daun bawang, padamkan api.
7.CARA HIDANG : Masukkan mi dalam mangkuk dan tuangkan kuah. Kuah mesti lebih, sudukan sedikit sambal cili dan gaulkan.
8.Kuah ini akan berbau wangi kerana tumisan bawang putih

MI TELUR GORENG
BAHAN

3 keping mi telur – rendam air panas
150 gm hati ayam – rebus dan hiris
Bawang goreng
Daun bawang
BAHAN A
15 ulas bawang putih – tumbuk
½ sudu besar lada hitam – tumbuk
1 sudu besar sos tiram
Minyak masak
Garam
BAHAN B
250 gm cendawan – hiris
1/2 biji cili benggala merah – hiris
8 tangkai pak coy – hiris

CARA PENYEDIAAN
1.Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga kekuningan.
2.Masukkan hati ayam, lada hitam dan sos tiram. Kacau rata.
3.Kemudian masukkan cendawan dan garam secukup rasa.
4.Setelah cendawan masak, masukkan mi telur, cili benggala merah dan pak coy. Gaul sebati.