berfikir dengan akal atau hati

Orang sering mengaitkan otak atau akal dengan fikiran. Kata-kata seperti “cerdik betul otak budak tu ye” “siapa sangka, umur muda lagi tapi berfikir macam orang dewasa. Geliga otak dia” dan banyak lagi perkaitan otak sebagai ‘bahan’ utama dalam melahirkan pemikiran yang mantap.

Namun benarkah berfikir dengan otak? Atau mungkin juga hati/jantung? Ilmu barat mengatakan berfikir dengan otak. Ilmuwan Islam mengatakan berfikir dengan hati.

Berfikir dengan hati? Terkejut bukan. Bagaimana berfikir dengan hati? Sedangkan apa yang kita ketahui, hati fungsinya bukan untuk berfikir, berfikir berpusat pada akal. Itulah inti pati ajaran barat kepada kita semua termasuk orang Islam.

Kita sama-sama diberi oleh Allah hati dan akal. Akal merujuk pada adanya karakter cara berfikir sistematik sehingga melalui akal manusia boleh merumuskan segala sesuatu secara konsepnya. Misalnya bila manusia melihat alam semesta, maka logik akalnya terus menangkap bahawa ada ‘designer’ lain di sebalik segala yang ada ini.

Ini kerana akal akan membuat rumusan bahawa mustahil untuk alam semesta ini lahir dari kebetulan. Justeru, dengan menggunakan kaca mata dari sudut pandang akalnya, manusia hanya boleh memilih mana yang rasional dan mana yang tidak rasional.

Bahkan pemikiran manusia juga terbatas dan ada hadnya jika menggunakan akal semata-mata. Logik akal yang dibawa oleh kepintaran otak manusia kadang-kadang menjerat pemilik akal itu sendiri ke lembah kehinaan.

Sebagaimana yang sering berlaku kepada orang bukan Islam atau orang yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Meskipun mereka sedar, tidak logik alam ini terwujud dengan sendirinya, namun akal yang waras masih menolak tentang kewujudan Pencipta yang hakiki. Disebabkan itu, orang yang mempunyai kepintaran akal kadang kalah dengan hamba yang taat.

Kerana apa? Nah! Ada alat berfikir lain dalam jiwa manusia yang baik kapasiti mahupun kekuatan dan kecerdasannya yang melampaui logik akal, iaitu hati. Bila kita mengacu kepada kitab suci al-Quran dan hadis, maka kita akan mengetahui identiti hati iaitu raja dalam jiwa.

Gelaran itu disandang oleh hati dan bukannya akal kerana seluruh aktiviti berfikir manusia sebenarnya bermuara di hati. Di dalam hati idea dan pemikiran itu diterjemahkan menjadi keyakinan atau keraguan. Disebabkan itu, bila orang bertanya di mana adanya keyakinan? Maka sesiapapun akan mengatakan, di dalam hati. Tidak pernah pula orang menunjuk di kepalanya sebagai reaksi kepada persoalan tersebut.

Disebabkan kerana hati adalah raja, akal juga sebenarnya di bawah kendalian hati. Bila hati seseorang berniat dan bertujuan baik, maka kecerdasan akalnya hanya digunakan untuk hal-hal yang baik. Sebaliknya bila hati seseorang berniat buruk atau jahat maka kecerdasan akalnya akan digunakan ke arah hal yang buruk dan salah.

Menerusi surah al-A’raf: 179, Allah berfirman:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai “

Ayat di atas menjelaskan dengan nyata fungsi hati itu iaitu untuk menilai dan menghasilkan pemikiran yang baik melaluinya. ‘Hati’ sebagai alat berfikir ditegaskan oleh Allah “mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah)…”

Maksud ayat di atas ialah hati itu tidak digunakan sebaiknya untuk berfikir dalam mendorong manusia ke arah kebaikan, maka neraka jahanam tempatnya. Hasil pemikiran hanya dari akal sahaja membawa kepada kesesatan, tetapi jika akal itu dipandu oleh wahyu, maka lahirlah pemikiran dari hati yang membawa manusia ke jalan kebenaran. Imam Ghazali ada menyebut, akal dan wahyu ibarat mata dan cahaya. Kedua-duanya adalah diperlukan.

Justeru, Kenapa Allah kata hati yang berfikir? Itu kerana di situ ada pemahaman yang mendalam,  kerana Allah jelaskan wahyu (ilmu) dan keimanan itu berada di dalam hati.  Dari situ timbulnya satu pemikiran yang cerdas. Ianya tercapai apabila seseorang itu melihat segala yang di depannya dengan pandangan rohani sehingga mengingatkannya kepada Allah.

Contohnya apabila berjalan-jalan dengan kawan yang merupakan ahli ethnobotany, jumpa sahaja tumbuh-tumbuhan, dia pasti menerangkan tentang spesies tumbuhan tersebut dan macam mana kitaran hidup tumbuhan tersebut terjadi. Segala jenis maklumat mengenai tumbuhan itu dari segi saintifik semua diberitahu.

Kita hanya mendengar kerana tidak mempelajari tentang ilmu tumbuhan tersebut. Tetapi dari pandangan kita dapat melihat betapa hidup dan mati ini Allah ciptakan, bukan setakat manusia tetapi tumbuhan juga diciptakan dengan sempurna oleh-Nya.

Lihat saja, benih yang kecil boleh menghasilkan tumbuhan yang menjalar sehingga boleh memberi manfaat kepada manusia dan haiwan. Itu luar biasa!.

Kita boleh saja melihat dunia sekitar dengan pandangan ilmiah iaitu dari pandangan akal, tapi ia cuma sekadar pemandangan melewati kita. Tapi kalau kita melihat dunia dengan hati, kita akan nampak hal lain, hal yang tidak dilihat oleh orang lain.

Pemerhatian dan pemikiran dari hati itu akan menerbitkan yang lainnya seperti dari sudut sains dan sebagainya. Setelah bermula di hati, hati akan menyebarkan ke akal untuk mendapatkan maklumat logik akal, yang penting perkara paling utama telah disemat kukuh di hati tanpa ada keraguan. Sebarang maklumat lain yang timbul adalah sekadar penambah atau pembuktian sahaja. Wallahu a’lam

____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’