Kebanyakan kita tidak menyedari perancangan pelancongan bukan sekadar menempah tiket dan tempat tinggal serta memastikan pasport dikemas kini. Tahukah anda sebenarnya perancangan pelancongan juga melibatkan perundingan bersama doktor anda berkenaan risiko penyakit di negara yang bakal dilawati dan bagaimana melindungi diri anda daripada risiko tersebut.
Bekas Presiden dan ahli Majlis Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), Profesor Datin Dr. Hamimah Ismail menjelaskan bahawa penyakit berkaitan melancong yang umum termasuklah hepatitis, demam kepialu dan influenza yang boleh disebarkan melalui makanan dan minuman tercemar, amalan seksual yang tidak selamat atau melalui pemindahan titisan semasa batuk, bersin atau bercakap.
“Bergantung kepada jenis pengangkutan, tahap kesihatan pelancong, gaya hidup yang diingini dan epidemiologi penyakit berjangkit di negara destinasi, melancong di luar negara mendedahkan kita kepada risiko kesihatan.
“Bukan sahaja pelancong mudah dijangkiti penyakit berkaitan melancong, tetapi pelancong mungkin menjadi pembawa bagi penyakit tersebut seterusnya mendedahkan masyarakat sekeliling kepada risiko jangkitan,” ulasnya lanjut.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan hampir dua juta penduduk dunia dijangkiti virus hepatitis B dan hampir 350 juta hidup dengan jangkitan kronik akibat virus ini.
600,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat daripada hepatitis B akut atau kronik. Berdasarkan laporan ini, kaedah terbaik untuk meminimumkan dan mencegah akibat-akibat tersebut adalah dengan mendapatkan perlindungan dari awal dalam bentuk vaksinasi.
Jelasnya lagi, kepentingan membuat rancangan kesihatan sebelum melancong adalah bagi membolehkan masa mencukupi supaya jadual imunisasi boleh dilengkapkan. Masa yang disyorkan untuk berjumpa doktor adalah sekurang-kurangnya empat hingga lapan minggu sebelum melancong.
“Walau bagaimanapun, pelancong tidak harus dikekang dengan tempoh masa yang disyorkan. Biarpun hanya tinggal sehari lagi sebelum melancong, anda masih boleh berjumpa doctor untuk mendapatkan rundingan perubatan, nasihat berkenaan risiko kesihatan serta langkah pencegahan,” tegasnya.