PELUANG sentiasa terbuka buat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kembali menjadi Menteri Besar Selangor.
Begitu keyakinan Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya (PN) Selangor, Kapten (B), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Jelas beliau, PN tidak menolak kemungkinan untuk mencalonkan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar sekiranya menang di Selangor.
Begitupun, katanya, keputusan itu terletak kepada kebijaksanaan kepimpinan PN bagi menentukan calon terbaik bagi menjawat jawatan tersebut.
“Peluang sentiasa terbuka kepada Azmin sekiranya berjaya memenangi peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya memetik laporan Berita Harian.
Baca lagi: [Tidak rasmi] PRU-15: Azmin ketinggalan, Amiruddin mendahului di Gombak
Dr Zulkafperi berkata, PN juga yakin ke arah itu berdasarkan pengalaman Azmin yang dilihat membantu kemenangan di Selangor nanti.
Namun, beliau berkata, Azmin juga Ketua Penerangan PN dilihat berdepan tugas berat mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kerusi itu dijangka sengit kerana pengundi Melayu tidak sampai 50 peratus dan ia semestinya sukar.
“Kita tidak menolak kemungkinan sama ada beliau kekal atau memilih DUN lain yang mungkin berpihak kepada PN,” katanya.
Untuk rekod, Azmin menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 dan menjadi ADUN Bukit Antarabangsa sejak 2008.
Dalam pada itu, Dr Zulkafperi berkata, PN melahirkan keyakinan mampu memenangi 33 kerusi DUN pada PRN nanti. Untuk rekod, DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.
Beliau berkata, jentera PN ketika ini dalam keadaan siap siaga dan berada pada tahap terbaik.
“Hasil pemerhatian mendapati ramai anak muda semakin kuat menyokong PN terutama menerusi platform media sosial.
“Saya yakin PN mampu menawan Selangor menerusi penyatuan ummah antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.
“Kita mahu gelombang orang Melayu diteruskan dengan memberi sokongan kepada PN dan menolak PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional),” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram