JIKA menonton filem P.Ramlee berjudul Seniman Bujang Lapok, ingatkah anda dengan babak mereka bertiga berjumpa dengan Manager Kemat Hassan untuk memohon menjadi seniman? Atau ingatkan anda dengan babak Sudin yang pergi berjumpa pengurus untuk meminjam duit?

“Pagi-pagi kau nak pinjam duit, Din. Berapa?” Nada keras pengurus itu membuatkan Sudin gugup. Akhirnya, Sudin yang ingin meminjam 500 ringgit tersebut hanya lima ringgit.

Walaupun babaknya tidak banyak, namun kemunculan manager dalam filem itu juga diingati ramai. Watak itu dilakonkan oleh Kemat Hassan.

Kemat Hassan (kiri) dalam Seniman Bujang Lapok.

Kemat Hassan dilahirkan di Singapura pada 15 Mei 1929. Sebelum bekerja dengan Malay Film Productions (MFP) pada pertengahan tahun 1950, beliau tidak pernah meminati bidang lakonan. Baginya, bidang lakonan adalah sukar.

Namun, segala-galanya berubah apabila Kemat diterima bekerja di MFP sebagai kerani di bahagian pentadbiran. Sesekali, beliau diminta membuat kerja alih suara (dubbing). Daripada situ minat berlakonya mula timbul. Cuma, Kemat tidak yakin apakah dia boleh berlakon atau atau pun tidak.

Beberapa orang pelakon di MFP yang rapat dengan beliau ialah Salleh Kamil, A.Rahim, Aziz Sattar dan Normadiah. Bahkan, Normadiahlah yang mendorong Kemat berlakon.

Kemat Hassan bermula sebagai kerani di MFP.

Peluang berlakon terbuka untuk Kemat apabila pengarah S.Ramanathan meminta beliau berlakon dalam tiga babak filem Kipas Hikmat pada tahun 1955. Filem bercorak 1001 malam itu dilakonkan oleh Yusof Latif, Mariam, S.Kadarisman dan Ibrahim Pendek.

Kemat memperoleh peranan yang agak besar apabila P.Ramlee mengarah filem Penarek Becha pada tahun 1955. Dalam filem tersebut, Kemat menjadi kawan baik Salleh Kamil yang memegang watak lelaki penipu yang mahu memperdaya orang kaya.

Kemat diberikan peranan yang lebih besar dalam filem Semerah Padi yang diarahkan oleh P.Ramlee pada tahun 1956. Selepas itu, Kemat tidak putus-putus berlakon, yang diarahkan hampir kesemua pengarah filem yang bertugas di MFP.

Kemat Hassan (kiri) bersama Salleh Kamil dalam filem Batu Belah Batu Bertangkup.

Kemat sentiasa mengisi masa lapang dengan kerja atau kegiatan yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan beliau. Waktu lapangnya diisi dengan menulis skrip.

Jamil Sulong melihat bakat yang ada pada Kemat dan berpendapat bahawa beliau boleh pergi jauh dalam kerjaya perfileman. Jamil memilih Kemat sebagai penolong pengarah bagi filem pertama arahannya iaitu Batu Belah Batu Bertangkup pada tahun 1959.

Kemat bukan hanya penolong pengarah dalam filem tersebut, malah beliau turut muncul sebagai pelakon pembantu. Kemat sangat gembira apabila pengarah Jamil Sulong berpuas hati dengan tugasnya sebagai penolong pengarah.

Semenjak itu, Kemat menjadi penolong pengarah filem selain kekal sebagai pelakon pembantu. Rakan-rakan setugas beliau yang turut berada di kerusi penolong pengarah ialah S.Kadarisman, S.Sudarmaji, Nordin Arshad dan Zulkifli Mohd (masih suami pelakon, Sarimah ketika itu).

Kemat sebagai penolong pengarah berkhidmat di bawah semua pengarah kecuali P.Ramlee. Namun, P.ramlee membuka peluang berlakon kepada Kemat.

Kemat (kiri sekali) berkhidmat sebagai penolong pengarah di bawah semua pengarah di MFP kecuali P.Ramlee.

Kemat mahu menjadi seperti teman-teman beliau yang lebih senior seperti Jamil Sulong, Omar Rojik, dan S.Kadarisman yang menjadi pengarah setelah beberapa tahun menimba pengalaman sebagai penolong pengarah. Peluang untuk meningkat ke tahap tersebut ditunggu-tunggu oleh beliau dengan penuh harapan tetapi hampa.

MFP yang ditutup pada tahun 1967 turut menutup peluang kerjaya perfileman Kemat. Beliau terpaksa melupakan dunia filem untuk selama-lamanya.

Filem terakhir yang dilakonkan beliau ialah Kolej 56 yang diarahkan oleh Ahmad Fauzee pada tahun 1989. Kemat Hassan meninggal dunia di Singapura pada 1 September 2004 di usia 75 tahun.

Kemat (dua dari kiri) dalam filem Panca Delima.
Kemat bersama Saadiah dalam filem Indera Bangsawan.

Antara filem lakonan Kemat Hassan :

Kipas Hikmat, Jubah Hitam, Penarek Becha, Adikku, Semerah Padi, Anakku Sazali, Pancha Delima, Masyarakat Pinchang, Sargent Hassan, Gergagasi, Matahari, Pendekar Bujang Lapok, Puteri Gunung Banang, Musang Berjanggut, Lela Manja, Isi Neraka, Pertarongan, Ali Baba Bujang Lapok, Sri Tanjung, Indera Bangsawan, Singapura Dilanggar Todak, Batu Durhaka, Korban, Dupa Chendana, Pusaka Pontianak dan Jebak Maut.

**Sumber : Buku Jejak Terbilang tulisan Aimi Jarr, terbitan Finas.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare