Sesi persekolahan baru akan bermula. Sebelum bermulanya sesi persekolahan ini, dapat dilihat gedung membeli-belah menjadi tumpuan kebanyakan ibu bapa yang sibuk membeli pakaian dan peralatan persekolahan anak-anak mereka.
Melihat situasi ini jelas mempamerkan betapa perbelanjaan untuk memasuki persekolahan memerlukan kos yang tinggi. Bagi yang sudah bersekolah, pakaian dan peralatan persekolahan lama yang masih boleh digunakan dapat diguna pakai semula. Namun, bagi yang baru bersekolah pastinya segala-galanya serba baru.
Biarpun perlu memperuntukkan sejumlah wang bagi memastikan anak-anak dapat ke sekolah, tetapi ramai juga yang memahami bahawa tidak semua ibu bapa mampu. Justeru, tidak hairanlah jika ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk memastikan anak mereka dapat bersekolah seperti anak orang lain.
Bagi mengelakkan perkara ini, kebijaksanaan ibu bapa dalam merencana kewangan amat perlu. Perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah mereka mestilah bijak merangka belanjawan untuk persekolahan anak-anak.
Berikut adalah tip atau panduan yang boleh di guna pakai sekali gus menjadi peringatan pada masa akan dating.
Sediakan Tabung Khas Lebih Awal
Tabung khas untuk membiayai kos yang perlu ditanggung untuk keperluan perbelanjaan persekolahan anak-anak perlu disediakan awal-awal lagi. Ini sekali gus dapat mengelakkan ibu bapa bergolok-bergadai pada waktu terdesak atau ketika hampir sesi persekolahan dibuka.
Kesedaran Untuk Tidak Berhutang
Ibu bapa yang sedar peri pentingnya menyediakan tabungan khas lebih awal juga tidak akan berhutang semata-mata untuk menyekolahkan anak. Tidak hanya lega kerana tidak perlu berhutang, ibu bapa bijak ini juga akan lebih berasa selamat berbanding mereka yang masih terkial-kial mencari sumber perbelanjaan untuk persekolahan di saat-saat akhir.
Sediakan Tabung Khusus Untuk Kemudahan
Selain tabungan khas, menyediakan tabung khusus juga dapat membantu ibu bapa meringankan beban mereka dalam menyediakan perbelanjaan untuk menyediakan buku latihan, peralatan menulis, buku tambahan termasuk bacaan luar demi memastikan anak-anak dapat menikmati pembelajaran dalam suasana selesa.
Secara konklusinya, dalam menguruskan kewangan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak, perancangan perbelanjaan secara bijak adalah amat perlu. Malah, keprihatinan ibu bapa terhadap masa depan anak-anak serta memahami kepentingan pendidikan mereka akan berusaha dengan cekal dan bijaksana untuk menangani segala permasalahan sebelum sesi persekolahan dibuka.