PENGANALISIS politik, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri mulai hari ini.
Perkara itu dimaklumkan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menerusi hantaran di Facebook beliau.
Mohammad Agus yang pernah menolak jawatan kerajaan pada Disember lalu memaklumkan menerima tanggungjawab itu atas hasrat untuk bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan bagi membangunkan negara.
Selain itu, kata beliau, proses pembangunan negara itu bukan sahaja dari segi ekonomi dan infrastruktur tetapi juga dari segi siasah dan masyarakat.
Menurut Mohammad Agus, dari segi siasah adalah untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dengan maklumat yang betul dan tepat bagi memastikan rakyat memahami serta mendukung misi kerajaan dalam merealisasikan Malaysia Madani.
Dari segi masyarakat pula, beliau berkata adalah untuk mendidik dan menyedarkan rakyat tentang keperluan saling menghormati serta bersatu supaya tidak ada lagi sikap ekstremisme agama dan kaum.
“Ya, perbezaan akan terus berlaku, namun yang penting kita mampu meraikan dan menerimanya dengan jiwa terbuka.
“Mencapai hasrat itu bukan mudah. Saya tentunya tidak boleh melakukannya sendirian. Oleh itu, kami di J-KOM tentunya memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua supaya dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel berkaitan: Keterjaminan makanan bidang baharu diteroka bersama Singapura – PM
Mengulas lanjut, Mohammad Agus memaklumkan, tiga teras utama J-KOM iaitu membudayakan ilmu; membudayakan masyarakat berkemahiran digital dan mengukuhkan semangat patriotik akan dilaksanakan mengikut acuan Malaysia Madani.
Kata beliau, ia supaya program-program yang bakal dilaksanakan dapat merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, harmoni dan sejahtera.
“Saya lihat episod Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah memisahkan masyarakat kita. Pengaruh media sosial telah membawa banyak kesan negatif kepada hubungan antara kaum.
“bagi memulihkan kembali keadaan ini, kami di J-KOM akan berusaha untuk mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan tata etika yang betul supaya semangat patriotisme serta hubungan baik dan tolerasi sesama rakyat akan kembali kuat dan subur,” jelas beliau.
Beliau berkata, J-KOM juga akan berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan seluruh agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia dan pemimpin masyarakat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram