Api dan asap menjulang di antara bangunan d Gaza City ketika tentera rejim melancarkan serangan udara di semenanjung Gaza, hari ini.

TENTERA Israel melancarkan serangan udara ke atas Genting Gaza yang dikepung ketika kebimbangan berhubung peningkatan keganasan berterusan di rantau itu.

Serangan pada awal pagi Khamis berlaku ketika peningkatan serbuan berdarah askar rejim di bandar Jenin, Tebing Barat yang dijajah, minggu lalu.

Sebanyak 10 penduduk Palestin maut akibat serbuan askar rejim yang disusuli serangan balas Palestin menyasarkan penduduk Israel hujung minggu lalu termasuk satu kejadian tembak mengakibatkan tujuh penduduk Israel maut di Baitulmuqaddis Timur.

Kekacauan itu juga mencetuskan kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan Israel dan kumpulan pejuang di Gaza.

Ini termasuk satu serangan roket dari Gaza pada Rabu malam yang didakwa dilancarkan oleh Briged Al-Qassam, sayap tentera Hamas.

Dalam reaksinya, Israel mendakwa menyerang tapak pembuatan senjata dan roket yang digunakan Hamas, kumpulan yang memerintah Gaza.

“Briged Al-Qassam kami dengan berani berdepan serangan askar penjajah dan pengebomannya di Gaza,” kata Qassem.

Menurutnya, roket diancarkan pejuang sebagai tindak balas kepada serbuan askar rejim di Tebing Barat dan layanan tahanan Palestin di penjara Israel.

Selepas serbuan itu, satu serangan roket dilancarkan dari Gaza dan letupan menggegarkan bangunan serta menerangi malam di Gaza.

Menurut Ahmed Abu Jarad, bapa kepada tiga orang tinggal di kem pelarian Al-Bureij di tengah Gaza menyifatkan pengeboman tentera Israel sebagai mimpi ngeri.

“Setiap saat terdapat pengeboman berdekatan rumah saya. Kami tidak dapat tidur. Bunyi letupan sangat kuat menggegarkan keseluruhan tempat.

“Ini kali kedua dalam seminggu dan sudah tidak tertahan lagi,” kata Ahmed Abu Jarad.

Pada masa sama, bunyi amaran siren juga kedengaran di kawasan Israel.

Bagaimanapun masih tidak diketahui berapa jumlah mangsa yang terbunuh.


Unit bersenjata Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin berkata, pihaknya melancarkan serangan roket ke Israel awal pagi Khamis sebagai reaksi kepada serangan udara dan pencabulan secara sistematik tahanan Palestin di penjara Israel.

Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben Gvir pada Rabu berkata, beliau akan meneruskan rancangan mengetatkan kawalan ke atas tahanan Palestin.

Sejak kerajaan berhaluan kanan berkuasa hujung tahun lalu, Januari tahun ini menjadi bulan berdarah kepada penduduk Palestin dengan 35 orang awam termasuk pejuang terbunuh.

Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 200 penduduk Palestin tahun lalu, lapor Al Jazeera.