PERTUBUHAN Kadazan Dusun Murut Muslim Malaysia (KDMRS Muslim)  melancarkan inisiatif untuk mengumpulkan dana kira-kira RM4 juta bagi membiayai kos penterjemahan dan penerbitan naskhah al-Quran di Sabah.

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif KDMRS, Nicholas Sylvester berkata, penterjemahan itu akan dilakukan dalam bahasa etnik Murut, Rungus, Sungai dan Kadazan.

Jelas beliau, KDMRS Muslim akan mencetak 20,000 naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun sebagai permulaan.

“Kami telah memulakan inisiatif menyediakan naskhah al-Quran tersebut pada Januari 2019 sehingga dapat disiapkan sepenuhnya pada 2022.

“Realitinya, Dusun adalah etnik majoriti penduduk di Sabah dengan jumlah lebih 869,000 orang namun minoritinya Islam iaitu kira-kira 22 peratus dan belum ada naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun diedarkan untuk keperluan masyarakat tersebut.

“Naskhah al-Quran terjemahan bahasa Dusun telah diedarkan ke seluruh negara dengan tumpuan di Sabah terutama di semua surau, masjid, perpustakaan awam dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan.

“Kitab suci terjemahan itu disiapkan pasukan penterjemah yang menguasai Bahasa Arab dan bahasa Dusun. 

“Selepas terjemahan itu disiapkan, naskhah tersebut disemak dan diluluskan oleh panel khas dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca lagi: “Tolong reda Along nak menghafaz al Quran,” – Kejut guru 4 pagi untuk tasmik, bantu adik disleksia hafaz Quran. Ibu ini kongsi kisah anak hebat

Mengulas lanjut Nicholas berkata, KDMRS Muslim juga sedang mengambil inisiatif menyediakan naskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Rungus, Murut dan Sungai sebelum menyusul terjemahan bahasa Kadazan. 

Jelasnya, semua inisiatif itu memerlukan dana yang besar dan mengharapkan sumbangan dermawan untuk menjayakannya.

Dalam pada itu, Nicholas berkata, KDMRS Muslim turut giat melaksanakan pelbagai program bagi membina persefahaman serta hubungan baik antara etnik Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Sungai.

Beliau berkata, untuk 2023, KDMRS Muslim memfokuskan sekurang-kurangnya tujuh kegiatan utama kemasyarakatan melalui platform kebajikan dan pendidikan melibatkan masyarakat serta saudara baharu yang memerlukan bimbingan dalam pelbagai aspek.

“Antaranya, menaja pelajar KDMRS Muslim yang memerlukan pembiayaan untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.

“Kami juga akan menganjurkan program sempena Ramadan termasuk iftar di pedalaman dan menyambut Tadau Kaamatan versi patuh syariah di seluruh Sabah.

“Kita juga menyalurkan bantuan makanan dan perlindungan termasuk membaik pulih atau membina rumah, membangunkan ekonomi asnaf mualaf serta program pembangunan sahsiah,” katanya.

Tambah Nicholas, turut dirancang oleh pertubuhan adalah program sembelihan ibadah korban di pedalaman serta kampung terpinggir selain membina surau terutama untuk komuniti mualaf di pedalaman yang belum mempunyai tempat ibadah dan pusat komuniti.

Kepada individu dan institusi yang mahu mendukung inisiatif ini boleh menyalurkan sumbang kepada KDMRS Muslim menerusi akaun Bank Islam no: 1005 2010 1170 95.

Keterangan lanjut sila hubungi pegawai KDMRS Muslim: 011-1497 9037 (Fitrie).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram