CALON-calon yang bakal bertanding pada Pemilihan UMNO diingatkan untuk mengamalkan corak kempen sihat sebagai menjaga keharmonian parti.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, calon-calon juga dinasihatkan untuk meneliti peraturan pemilihan seperti termaktub dalam perlembagaan parti.
“Majlis Kerja Tertinggi memutuskan bahawa tempoh berkempen ialah pada 1 Februari 2023 sehingga 19 Mac 2023. Saya harap semua calon di pelbagai peringkat meneliti segala peraturan dan perkara dalam tata etika ahli UMNO dan patuh kepada perkara tersebut.
“Ini nasihat kami bahawa tataetika ahli UMNO merupakan garis panduan dari segi kelakuan, keputusan, tingkah laku setiap calon sebab itu sebagai harus rujuk dan faham supaya tidak langgar perkara tersebut.
“Sepanjang kempen Pemilihan UMNO 2023, antara larangan-larangan iaitu majlis perasmian berkelompok di semua peringkat terutama cawangan adalah dilarang bermula 1 hingga 26 Februari 2023.
“Semua ketua (empat peringkat) di peringkat cawangan dan semua ketua (empat peringkat) di bahagian dilarang berucap sebelum proses pemilihan dan pengundian dijalankan,” katanya seperti dilapor UMNO Online.
Pada masa sama, Shahrir mencadangkan pindaan dilakukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membolehkan calon-calon berkempen menerusi media massa dan media sosial.
“Kita sedar bahawa tempoh berkempen begitu singkat dan adanya larangan-larangan dalam tataetika ahli UMNO yang menyusah dan menyempitkan cara calon untuk berkempen.
“Jadi kita sudah syorkan kepada MKT supaya diberikan kelonggaran dalam berkempen menggunakan media massa dan media sosial tetapi hanyalah untuk menyokong calon dengan syarat tidak menfitnah, mengata dan mengeji mana-mana calon serta tidak melanggar Perkara 5.3 Tata Etika Ahli UMNO,” ujarnya.
Tambah Shahrir, sebarang aduan membabitkan salah laku sepanjang tempoh berkempen hendaklah dilaporkan kepada Lembaga Disiplin UMNO pada kadar segera.
“JPU berharap semua pihak yang terlibat dalam pemilihan UMNO 2023 akan memberikan Kerjasama dan sokongan seta mematuhi peraturan dan larangan demi memastikan proses pemilihan UMNO dapat berlangsung dengan sempurna,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri dan bahagian-bahagian dibenarkan mengadakan sesi pengenalan calon yang bertanding sebagai pemaklumkan kepada ahli akar umbi.
Untuk rekod, MKT telah melantik Shahrir sebagai Pengerusi JPU 2023 dan Datuk Mustapha Yaakub sebagai Setiausaha JPU.
Antara tanggungjawab JPU adalah melaksana, mengawal, menyelia dan memantau pemilihan jawatan-jawatan peringkat bahagian dan pusat supaya ia dijalankan dengan sempurna mengikut sistem yang telah dipersetujui serta memastikan Perlembagaan UMNO, Peraturan Persidangan dan Tataetika Ahli UMNO dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak terlibat dalam pemilihan UMNO.
JPU juga bertanggungjawab menyelaras pendaftaran calon yang bertanding, menguruskan taklimat dan penerangan mengenai peraturan pemilihan serta mengesahkan keputusan pemilihan di peringkat pusat dan bahagian termasuk peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum diumumkan oleh Pengerusi Tetap.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram