SEORANG lelaki dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di Shah Alam hari ini atas 22 pertuduhan mengubah wang haram bernilai lebih RM28 juta.
Tertuduh, Foo Yong Xian, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Anas Mahadzir, pagi ini.
Tertuduh yang kini tidak berkerja didakwa atas 10 pertuduhan menerima dan melupuskan wang yang merupakan hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta dihadapan Hakim Muhammad Anas.
Dalam kamar berasingan di hadapan Hakim Norazlin Othman, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas 12 lagi pertuduhan.
Dalam prosiding itu, tertuduh yang masih bujang itu turut didakwa 12 lagi pertuduhan memindah dan melupuskan wang yang merupakan hasil aktiviti haram berjumlah RM18.4 juta.
Kesemua perbuatan itu dilakukan menerusi cek dan pemindahan atas talian akaun milik syarikat peralatan muzik tersebut ke dalam akaun miliknya dan beberapa akaun syarikat lain serta beberapa individu.
Bagi semua pertuduhan itu, kesalahan dilakukan di dua buah cawangan bank di Bangsar dan Bandar Puteri Puchong antara Februari 2018 hingga Disember 2020.
Tertuduh didakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.
Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta , jika disabitkan kesalahan.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Muhammad Anas, Timbalan pendakwa raya Muhammad Zulfadli Mohd Nawawi memohon agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000.
Bagaimanapun Peguam, Tuw Min Ric memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan hadir ke mahkamah apabila diperlukan bagi pertuduhan lain di mahkamah berasingan.
Manakala dalam prosiding di hadapan Hakim Norazlin, Muhammad Zulfadli mencadangkan wang jaminan sebanyak RM150,000.
Min Ric bagaimanapun memohon mahkamah untuk menggabungkan wang jaminan sedia ada yang perlu dibayar oleh Yong Xian.
Kedua-dua mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM154,000 bersama dua penjamin dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepda mahkamah.
Kedua-dua mahkamah turut membenarkan kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Norazlin dan menetapkan 22 Mac depan bagi sebutan semula kes.