DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menepis spekulasi beliau digantung UMNO dan menyifatkannya sekadar khabar angin.
Jelasnya, beliau masih berkhidmat untuk parti itu sebagai naib presiden parti.
“Saya tidak fikir saya digantung. Ia tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya menurut laporan The Star.
Bekas perdana menteri itu menjawab khabar angin beliau dikenakan tindakan tatatertib selepas mempersoalkan keputusan MKT memecat dan menggantung beberapa pemimpin UMNO.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat bulan lalu kerana melanggar disiplin parti ketika PRU15.
Bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan pula digantung selama enam tahun.
Ismail Sabri dilaporkan tidak bersetuju dengan pemecatan dan penggantungan itu atas alasan ia tidak mematuhi proses perundangan.