PELAKON Amelia Henderson gembira apabila adiknya iaitu Alex Henderson akhirnya ‘termakan’ pujukannya untuk berlaku bersama dalam filem Pulau.
Ujar Amelia,28, bukan mudah sebenarnya untuk mengajak adik kesayangannya itu untuk bergandingan dalam filem arahan Eunho terbabit.
“Dah banyak kali sebenarnya saya pujuk dia untuk berlakon tapi dia lebih selesa unutk berada di belakang tabir.
“Selama saya berada di hadapan kamera, Alex tak pernah temankan saya di lokasi penggambaran tapi sayalah yang merayu kepadanya untuk ikut saya.
“Sudah tentu sayalah orang paling gembira bila Alex setuju untuk berlakon dalam Pulau. Saya juga dalam usaha nak pujuk dia untuk berlakon dalam beberapa projek lain,” katanya ketika ditemui URTV pada majlis pelancaran trailer filem Pulau di ibu negara, baru-baru ini.

Sementara itu, Amelia menafikan jika Alex berada dalam industri seni atas tiket dirinya yang sudah dikenali sekaligus mahu menumpang popularitinya.
“Kalau ada yang tuduh Alex nak tumpang populariti saya, tuduhan itu tidak betul sama sekali.
“Alex tak pernah sekali gunakan nama saya untuk dikenali atau gila glamor.
“Mungkin orang yang buat tuduhan itu tak tahu dunia sebenar industri kita bekerja. Lagipun Alex, saya lihat dia lebih selesa duduk di belakang tabir dan kami pun bekerjasama sebagai penerbit untuk podcast Studio Sembang,” kongsinya.
Dalam pada itu, Alex atau Alexander Rudra Keith Henderson,23, sebelum ini dia pernah meminjamkan suaranya untuk sebuah filem animasi.
Kata Alex, dia gembira kerana diberi peluang untuk berlakon dalam filem Pulau dan berkampung selama sebulan di Langkawi yang dijadikan sebagai lokasi penggambaran utama.

“Hubungan saya dan kakak memang sangat rapat. Dia ada juga ajak saya berlakon bersama tapi dulu saya kerja dekat Korea jadi tak ada masa sesuai.
“Seronok dapat kerja dengan kakak sendiri di set penggambaran. Sebenarnya kami kini bekerja dalam produksi sama untuk program Studio Sembang yang disiarkan di Youtube.
“Jadinya, kami tak ada masalah untuk bekerja bersama sebab sudah ada pengalaman selain kami adik-beradik,” ujarnya.
Menurut Alex lagi, dia terbuka untuk menerima sebarang tawaran lain pada masa akan datang
Selain Amelia dan Alex, Pulau turut dibintangi oleh Alif Satar, Ikmal Amry, Harris Anuar, Sabronzo dan ramai lagi.
Filem bergenre seram itu bakal menemui penonton pada 9 Mac depan.