Avokado tersenarai antara buah yang paling banyak khasiat. Kajian dari Pusat Perubatan Wesley, Australia mendapati, dengan hanya makan setengah biji sahaja avokado sehari, selama sebulan, boleh mengurangkan berat badan dan merendahkan paras kolesterol.
Sayangnya, pengambilan avokado tidak menjadi budaya di Malaysia lantaran ia bukan buah tempatan dan sukar pula untuk didapati.
Cegah Tua , Cegah Kanser
Avokado kaya kandungan asid amino terutama glutation yang juga merupakan agen antioksida. Peningkatan kadar glutation dalam badan bermakna melambatkan proses penuaan.
Sel yang sudah tua kekurangan 20 hingga 30 peratus glutation berbanding sel muda. Manakala avokado pula mengandungi sehingga 17.7 mg glutation dalam setiap 100 gram. Ia adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding buah-buahan lain. Bayangkan dengan hanya makan avokado, anda boleh mengisi kembali sel yang sudah tua kembali muda!
Oh ya… gluatation juga dikatakan dapat menampan 30 jenis karsinogen yang menjadi penyebab kanser.
Di samping itu, avokado tinggi sumber lutein yang berfungsi memelihara makula mata dan menentang pembentukan katarak yang menyebabkan mata buta menjelang tua.
Kuruskan Badan !
Berita baik bagi anda yang tercari-cari menu untuk menurunkan berat badan. Avokado mengandungi 14.7 gram lemak mono tidak tepu dan 2.7 gram lemak poli tidak tepu dalam setiap 100 gram buah tersebut.
Lebih penting lagi, ia tiada lemak trans dan garam serta rendah gula iaitu 0.4 gram karbohidrat sahaja setiap 100 gram isinya.
Keperluan lemak berbeza bagi setiap individu bergantung kepada aktiviti dan rutin harian masing-masing. Orang yang kurang aktif secara purata cuma memerlukan 20 hingga 30 gram lemak sehari sementara bagi yang aktif pula, badan memerlukan lemak sekitar 50 hingga 70 gram.
Bagaimanapun, bukan semua lemak berguna. Lemak yang diperlukan oleh badan sebaiknya daripada jenis lemak mono tidak tepu, poli tidak tepu atau asid lemak yang mana semua lemak baik ini ada dalam sebiji avokado!
Selain itu, avokado tidak mengandungi kolesterol sebaliknya kaya sumber sterol yang berfungsi mengurangkan kadar penyerapan kolestrol dalam badan.

Baik Untuk Mama, Baik Untuk Bayi
Kandungan folat dalam avokado mencecah 80 mikrogram, kira-kira 20 peratus daripada jumlah sukatan ambilan harian yang disyorkan untuk wanita mengandung.
Dengan mengambil folat sebelum mengandung dan ketika semester pertama kandungan, risiko untuk kecacatan spina bifida pada tulang belakang bayi dapat dicegah.
Avokado juga mengandungi lemak mono tidak tepu yang penting untuk perkembangan bayi. Isi avokado yang lembut dan berkrim juga memudahkan penyediaannya sebagai makanan pertama bayi. Cuma sudu isinya keluar dan suap sahaja ketika makan.
Terdapat Dua Jenis Avokado :
Hass – berbentuk lebih bulat, berwarna hijau pekat dan bertukar keunguan apabila masak. Isinya lemak dan sedikit rasa seperti kacang. Mudah didapati sepanjang tahun kecuali bulan Februari dan Mac.
Shepard – berlekuk seperti buah pear, kulitnya hijau berkilat. Isinya lebih lembut dan lemak apabila masak. Hanya tiga bulan musimnya sekitar Februari hingga April.
Tip
Bungkus avocado dengan kertas dan biarkan ia berada dalam suhu bilik untuk membiarkan buah tersebut masak. Kaedahnya sama seperti buah pisang. Jangan letak avokado dalam peti sejuk untuk tempoh yang lama kerana isinya akan lebam.
Untuk mengetahui sama ada avocado sudah cukup masak, tekan sedikit kulitnya. Avokado yang belum masak teksturnya keras sementara isi yang sudah masak terasa lebih lembut. Ia boleh katakan kaedahnya hampir sama seperti menguji buah ciku. Namun isi avokado tidak terlalu lembik dan berair seperti ciku.
Kulit avokado tidak perlu dikupas untuk mendapatkan isinya. Belah avokado kepada dua bahagian dan buang bijinya. Kemudian dengan menggunakan sudu, cungkil keluar isinya sekali gus.