NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada Pemilihan UMNO 2023.
“Saya kekal mempertahankan jawatan (Naib Presiden UMNO),” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Universiti UCSI Kampus Cawangan Bangladesh, hari ini.
Dua lagi penyandang naib presiden ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan UMNO.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata langkah permulaanya ke peringkat nasional itu mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan bahagian dan negeri serta Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Saya akan cuba memastikan ada kesinambungan, sekali gus membawa imej pemuda yang sentiasa lantang bersuara untuk kepentingan rakyat,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, ketika ditemui baru-baru ini.
Baca artikel berkaitan: Khaled Nordin sifatkan pelantikannya kepercayaan besar oleh PM
Ketua Pemuda UMNO Johor sejak 2018 itu berkata bagi jawatan berkenaan, beliau dijangka berentap dengan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd Nazifuddin dalam saingan tiga atau empat penjuru.
Jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO disandang oleh Shahril Sufian Hamdan sebelum beliau digantung oleh parti selama enam tahun baru-baru ini.
Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 hingga 26 Feb ini.
Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram