BERDASARKAN kajian sains, satu persepuluh daripada individu di dunia ini pernah mengalami pengalaman Out of Body Experience (OBE). Ia adalah keadaan di mana seseorang itu merasakan roh mereka keluar daripada tubuh.
Fenomena ini sering digambarkan dengan keadaan roh yang terawang-awang, di mana kebanyakannya dapat melihat sendiri keadaan tubuh mereka yang terbujur kaku.
Ada juga di antara mereka yang melaluinya dapat merasai kebolehtelapan objek nyata seperti menembusi dinding atau bumbung. Dengan kata lain, ia seolah-olah satu pengalaman yang membuatkan seseorang itu merasakan diri mereka telah mati. Malah, ada juga yang mendakwa dapat melihat perkara-perkara yang berlaku pada masa akan datang.
Bagi sesiapa yang pernah mengalaminya, sudah pasti ia merupakan suatu pengalaman yang menakutkan. Seseorang yang mengalami unjuran astral akan merasai hidup yang terasing di dalam satu dimensi atau dunia lain. Sekalipun pandangan mereka boleh melihat dengan jelas keadaan sekeliling termasuk diri mereka sendiri, individu tersebut tidak mampu untuk berinteraksi secara fizikal dengan dunia nyata. Malah, suara mereka juga tidak boleh didengari oleh orang lain.
Selalunya, keadaan ini hanya berlangsung dalam jangka waktu tertentu. Selepas beberapa ketika, ia akan pulih seperti sedia kala dan roh atau semangat seseorang kemudiannya kembali semula ke dalam jasad.

Di barat, konsep asas OBE ini sering digambarkan melalui filem–filem yang berkisarkan tentang perjalanan menuju kematian ataupun kehidupan selepas meninggal dunia. Selain itu, dalam sesetengah permainan komputer yang berkonsepkan peperangan, OBE juga sering diterapkan melalui watak-watak tentera yang telah mati.
Dalam dunia perubatan, OBE dilihat sebagai sesuatu yang berlainan dengan konsep Near Death Experience (NDE). Walaupun gejala dan persepsi fenomena ini dilihat hampir sama, tetapi NDE biasanya berlaku ketika mana seseorang itu berada dalam keadaan trauma fizikal seperti koma ataupun sedang menjalani pembedahan yang panjang.
Pengalaman yang dilalui juga berlainan, di mana orang yang mengalami NDE akan merasakan roh mereka menuju ke suatu tempat seperti melalui terowong yang sempit dan di penghujungnya terdapat cahaya terang. Sebaliknya, fenomena OBE pula adalah satu keadaan roh yang terawang-awang dan hanya berlegar tidak jauh dari jasad.

Disebabkan fenomena OBE atau unjuran astral ini berlaku di seluruh dunia tanpa sebarang keterbatasan dari aspek gender mahupun agama, justeru ia telah menarik minat saintis dalam dunia perubatan untuk mengkaji tentang fenomena ini.
Antara penyelidikan terawal tentang OBE ialah kajian yang dilakukan oleh GNM Tyrrell pada tahun 1943. Kajian tersebut telah diterjemahkan dalam bukunya bertajuk Apparitions dan teori-teori yang dijelaskan masih diguna pakai sehingga kini.
Pada tahun 1968, kajian saintifik mengenai OBE telah diperluaskan lagi oleh seorang saintis bernama Celia Green. Beliau telah mengumpulkan 400 subjek yang mendakwa pernah melalui pengalaman roh keluar daripada tubuh.
Kaedah kajian yang dilakukan ialah melalui soal selidik, yang mana ia menjurus kepada persoalan sama ada perkara ini sebagai suatu persepsi atau khayalan manusia. Selain itu, Green cuba mengaitkannya dengan pancaindera keenam manusia.
Setakat ini, sains masih belum mampu menghuraikan fenomena OBE dengan sempurna. Bagaimanapun, segala data-data yang terkumpul sedikit sebanyak dapat memberi gambaran sebenar tentang perkara ini.
OBE biasanya berlaku secara spontan dan dipacu dalam beberapa keadaan. Sebahagian besar kes OBE berlaku ketika seseorang itu tidur. Fenomena ini terjadi adalah kerana adanya multi fungsi rapid eye movement (REM).
Dalam kebanyakan kes, individu yang mendakwa mengalami fenomena ini ialah ketika di ambang tidur iaitu tidur yang tidak terlalu lena. Situasi itu mungkin disebabkan oleh sakit, keadaan sekeliling yang bising, tekanan emosi ataupun disebabkan oleh keletihan.
Ketika keadaan tubuh terlalu penat, gelombang otak tidak mengikuti tahap tidur yang teratur. Apabila otak mendadak terbangun dari tahap REM, tetapi tubuh masih kekal dalam keadaan tidur, ketika inilah OBE terjadi. Keadaan ini dilihat hampir sama dengan fenomena sleep paralysis.
Selain ketika tidur, ia juga boleh berlaku ketika seseorang itu berada di dalam keadaan pra-termenung. Selain itu, pengalaman roh keluar daripada tubuh juga boleh disebabkan oleh pengaruh dadah seperti ketamin, dextromethorphan dan phencyclidine. Penggunaan ketiga-tiga dadah jenis ini mampu menghasilkan gejala di mana seseorang dapat merasakan roh mereka jatuh dan meninggalkan tubuh. Ada juga di antara pengalaman-pengalaman itu yang merasakan roh mereka berkeliaran ke merata tempat.
Antara faktor lain yang boleh menyebabkan perkara ini berlaku ialah epilepsi atau sawan. Ia merupakan sejenis gangguan saraf yang berlaku pada bahagian otak. Gangguan ini akan memberi rangsangan sehingga seseorang itu merasakan roh mereka keluar dari tubuh.
Setakat ini kebanyakan kes OBE berlaku dalam keadaan di mana seseorang itu sedang berbaring. Bagaimanapun, ada juga beberapa kes terpencil berlaku dalam keadaan seseorang itu sedang duduk. Ia biasanya dimulakan dengan suatu bunyi yang kuat, dan akan berakhir apabila roh mereka kembali disedut masuk semula ke dalam tubuh.

________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare