Seorang lelaki bersama 11 warga asing ditahan polis selepas aksi kejar mengejar sebuah Perodua Alza. GAMBAR: JSPT
SEORANG lelaki bersama 11 warga asing ditahan polis selepas berlaku aksi kejar mengejar sebuah Perodua Alza pagi semalam.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), berkata, dua anggota yang membuat rondaan di Kilometer 29, Jalan Kuala Lumpur-Lancang telah mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa diarah berhenti, MPV itu terus memecut menghala ke Tol Gombak sebelum merempuh palang tol.
“Hasil bantuan gerakan JSPT Bukit Aman, MPV terbabit berjaya ditahan di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2),” kata hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi JSPT.
Pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan bersama 10 lelaki dan seorang wanita warga asing berada di dalam MPV.
Semakan mendapati kesemua tangkapan warga asing tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya bagi siasatan lanjut.
Warga tempatan tersebut ditahan disiasat di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sementara 11 warga asing disiasat di bawah Seksyen 51(5) Akta Imigresen (pindaan) 2002 (Akta 155).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda! Ikuti langkah ini: Langkah 1: Layari utusantv.com Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’