Kaliber seseorang pemimpin itu adalah berdasarkan pengalaman dan usaha. Begitulah kehebatan pemimpin Wanita UMNO sebelum ini. Masing-masing ada legasi yang boleh dibanggakan. GAMBAR: Abd Razak Aid

ISU melibatkan usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang mencetuskan ‘pergolakan’ sudah diketahui umum.

Apa yang tidak diketahui adalah usul seumpama itu sebenarnya turut dibawa pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 supaya jawatan tertinggi Wanita dan bahagian-bahagian tidak dipertandingkan.

Perkara itu didedahkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Haryaty, usul supaya jawatan tertinggi Wanita UMNO itu tidak dipertandingkan telah ditolak perwakilan yang hadir.

Haryaty mendedahkan, usul tersebut kemudiannya dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk diluluskan, namun tidak mendapat sebarang kelulusan.

“Kegagalan usul ini membuktikan akar umbi mahukan kepimpinan baharu.

“Biar pun terdapat cubaan mengekalkan kepimpinan sedia ada tanpa pertandingan, namun ia tidak berjaya.

“Melalui proses demokrasi nanti, akan menyaksikan sama ada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebenarnya dirindui dan didambakan untuk memimpin Wanita. Beliau seperti mutiara yang telah lama tersimpan dan akan kembali menyinar bagi membawa kegemilangan Wanita semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 147 bahagian sokong Shahrizat kembali terajui Wanita UMNO

Terdahulu, Haryaty mendedahkan seramai 147 Ketua Wanita Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan sokongan supaya Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita parti itu.

Beliau berkata, semua 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian seluruh negara telah mengadakan pertemuan dengan Shahrizat.

Media melaporkan Shahrizat dikatakan bakal kembali ke gelanggang sekali gus menjadi pesaing kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam hantaran di Facebook menegaskan usul tambahan yang diluluskan sewaktu PAU 2022 melibatkan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan tidak melanggar Perlembagaan parti atau Peraturan Mesyuarat.

Ahmad berkata, proses melibatkan usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang itu berjalan dengan teratur.

Malah, beliau berkata, sekitar 90 peratus perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram