Kebiasaan malas bangun pagi mungkin dianggap biasa bagi sesetengah orang. Namun, sebaiknya tukar persepsi anda sebaik membaca info di bawah.
Berdasarkan sebuah kaji selidik, didapati amalan bangun pagi sebenarnya berupaya mempengaruhi keadaan fizikal dan psikologi seseorang individu. Malah, amalan tersebut juga dikatakan dapat menjadikan hidup lebih sihat, langsing dan bahagia.
Udara di pagi hari tidak dinafikan mampu membuat sesiapa sahaja untuk berasa selesa berada di balik selimut. Pun begitu, melalui hasil kaji selidik sekumpulan pakar mendapati sekiranya seseorang itu ingin hidup lebih bahagia dan sihat, mereka perlulah bangun awal pagi. Ini kerana individu yang bangun sedikit lewat biasanya lebih mudah mengalami stress dan masalah kegemukan.
Melalui tinjauan yang dilakukan terhadap 1069 orang dewasa dengan pelbagai persoalan yang menyentuh tentang tahap kebahagiaan, kecemasan, kesihatan fizik dan pola makan serta tidur mereka, hasil keputusan yang diperoleh cukup mengejutkan. Hasil tinjauan tersebut mendapati individu yang bangun awal dan memulakan aktiviti hariannya seawal pukul 6.58 pagi akan merasa lebih bahagia sewaktu menjalankan rutin harian mereka. Berbeza dengan mereka yang bangun lebih lewat sedikit (kira-kira pukul 8.54 pagi), individu terbabit dikatakan kurang bersemangat.
Ketua Pensyarah dari Universiti of Roehampton London, Dr. Joerg Huber menyatakan, terdapat tiga kelompok individu yang bangun pagi atau malam. Bagaimanapun, individu yang bangun pagi lebih sihat dan bahagia serta memiliki indeks berat tubuh lebih rendah.
Tambah beliau lagi, ada beberapa sebab atau faktor yang mempengaruhi seseorang individu itu bangun lambat. Sebagai contoh dalam kerjaya yang memerlukan seseorang itu bekerja sehingga larut malam. Bukan itu sahaja, tabiat menonton televisyen sehingga larut malam juga boleh menjadi penyebab seseorang itu bangun lewat.
Amalan bangun pagi mungkin akan lebih baik bagi individu yang terlibat industri pengilangan. Bukan sahaja terikat dengan masa, tetapi mereka juga perlu bekerja mengikut syif dan perlu tiba lebih awal ke tempat kerja.