Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengadakan mesyuarat dengan Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Josephine Teo di Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Facebook Fahmi Fadzil

MALAYSIA dan Singapura hari ini mengadakan perbincangan hala tuju kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital susulan pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkara itu, pada 30 Jan lepas.

MoU berkenaan ditandatangani semasa lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura, Isnin lepas.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini berkata, MoU yang memperbaharui kerjasama antara Malaysia dan Singapura itu menyediakan platform kepada agensi-agensi di kedua-dua negara untuk memulakan kerjasama yang lebih mendalam dalam tiga bidang berkenaan.

“Antara kerjasama yang dirangka adalah perkongsian maklumat dan kepakaran serta amalan terbaik antara Malaysia dan Singapura dalam menangani isu penipuan dalam talian (online scam) secara lebih berkesan dan mengoptimumkan penggunaan data sebagai sumber komoditi yang berharga dalam pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Anwar minta Singapura teliti kesan penambakan di sekitar Batu Puteh

Fahmi berkata demikian selepas mesyuarat dengan Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Josephine Teo di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia Vanu Gopala Menon, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek dan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura Joseph Leong.

Sementara itu, Fahmi turut mengalu-alukan kesudian rakan sejawatnya dari Singapura serta delegasi untuk menghadiri konsert Muzika Ekstravaganza yang dihoskan oleh Malaysia, malam ini.

Konsert anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan MediaCorp Suria Singapura itu merupakan konsert kali ke-14 yang bermatlamat menaikkan taraf industri muzik kedua-dua negara menerusi pertukaran kepakaran dan pengalaman serta penggunaan teknologi, selain memberi pendedahan kepada budaya kerja antara kedua-dua stesen penyiar itu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram