Teknik memasak daging dendeng ini ada pelbagai cara. Ada setengahnya daging dendeng akan diperap bersama kicap manis, jintan manis, ketumbar, serai, bawang merah dan bawang putih kisar selama satu jam. Kemudian direbus bersama daun limau purut, sehingga daging empuk.
Setelah daging sejuk, barulah dihiris dan ditumbuk sehingga lembut. Barulah digoreng. Ada sebahagian resipi dendeng pula, daging diperap kemudiannya direbus. Setelah empuk, dihiris dan kemudiannya dijemur beberapa hari sehingga kering. Barulah digoreng.
Apa pun caranya, sambal tumisan dendeng tetap sama. Sedap atau tidak, bergantung cara sambal itu ditumis. Untuk lebih enak, tumis sambal sehingga garing. Sejukkan terlebih dahulu sambal, setelah sejuk baharu gaulkan dengan daging. Rasai keenakkannya luar biasa sedap. Tak percaya, cuba masak.
DAGING DENDENG PADANG
BAHAN
1 kg daging
2 liter air
10 ulas bawang merah – tumbuk
15 tangkai cili merah – tumbuk kasar
2 keping asam gelugur
2 batang serai – titik
3 cm halia – tumbuk
5 helai daun limau purut
6 sudu besar kicap manis
Garam dan gula
Minyak masak untuk menumis
CARA PENYEDIAAN
- Rebus daging sampai empuk. Simpan air rebusannya.
- Hiris daging ikut lawan urat. Tumbuk sekeping-sekeping daging hingga nipis.
- Kemudian perap daging yang ditumbuk dengan kicap selama satu jam.
- Panaskan minyak, goreng daging sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
- Panaskan minyak, tumis bawang besar, cili merah dan daun limau purut sehingga pecah minyak.
- Masukkan serai yang dititik, halia, asam gelugur, air daging, garam dan gula secukup rasa. Biarkan mendidih.
- Selepas itu, masukkan daging dan gaul sebati.