Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

BEKAS Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan hasrat untuk menyertai parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah.

Beliau dipecat daripada UMNO baru-baru ini selepas bertanding sebagai calon Bebas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.

“Sebelum ini saya ada memaklumkan akan masuk PH tidak mengira parti komponen yang mana satu pun malah kita sedang berbincang dengan PKR atau Amanah tetapi apabila kita bertanyakan kepada akar umbi (Padang Besar), mereka menyarankan saya supaya menyertai Amanah.

“Oleh hal demikian, kita tengah menunggu idea daripada akar umbi ini supaya kita dapat sampaikan kepada pihak di atas (PH) dan kepimpinan Amanah kerana hari ini juga seramai 150 orang hadir di sini hendak menyertai PH sama ada PKR atau Amanah.

“Namun, saya lebih condong penyertaan kepada Amanah malah (pemangku) Setiausaha Amanah Kawasan Padang Besar juga turut hadir dalam majlis hari ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Baca artikel lain: Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun, Sabah kekal

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Datuk Zahidi Zainul Abidin Bersama Penduduk Padang Besar di Dewan Bukit Jernih, semalam.

Turut hadir adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Perlis merangkap Pemangku Setiausaha Amanah Kawasan Padang Besar, Mat Safar Saad.

Katanya, sekiranya penyertaannya ke dalam Amanah diluluskan maka sokongan terhadap PH terutama Amanah di Padang Besar akan bertambah kerana dijangka 2,000 orang akan menyertai parti itu secara berperingkat selepas ini.

Sementara itu, Ketua Amanah Kawasan Padang Besar, Kapten (B) Mohamad Yahaya dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya sudah berbincang dengan semua AJK Amanah kawasan dan mengambil ketetapan bahawa pihaknya terbuka bagi sesiapa yang mahu menyertai parti itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram