Cuba anda teka berapa banyak protein pada set burger keju 8 aun dengan segelas milkshake? Hanya satu set hidangan ini mengandungi dua hingga tiga kali ganda protein daripada keperluan manusia dalam satu hari.
Tidak dinafikan hari ini kebanyakan wanita dan keluarga terutama kanak-kanak menggemari makanan segera dan makanan kegemaran kanak-kanak termasuk sosej serta lamb chop. Makanan berasaskan daging ini sememangnya kaya dengan sumber protein.
Memenuhi Keperluan Protein Harian
Tubuh manusia memerlukan protein untuk memulih sel-sel yang rosak dan membina sel-sel baru. Marion Nestle, professor nutrisi di Universiti New York, Amerika Syarikat dan penulis buku What To Eat menganggarkan lelaki dewasa biasa memerlukan hampir 65 gram protein sementara wanita dewasa pula, 55 gram.
Sesetengah sumber termasuk Pusat Pengawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) berpendapat anda boleh mengekalkan diet sihat dengan mengurangkan pengambilan protein seperti yang disyorkan di atas. Ini bermakna kebanyakan orang telah memenuhi keperluan protein harian mereka dengan makan dua hingga tiga hidangan kecil makanan kaya-protein sehari.
Bijiran penuh dan sesetengah sayuran turut mengandungi protein, maka mudah untuk anda mencapai keperluan protein tanpa perlu makan daging. Pakar nutrisi sering mengesyorkan gabungan makanan-makanan dalam satu hidangan tetapi kajian menunjukkan amalan berkenaan tidak perlu.
Adakah Kesan Sampingan Terlebih Protein
Memakan jumlah daging merah dan daging proses yang banyak sering dikaitkan dengan kadar penyakit jantung dan barah. Kebanyakan pakar nutrisi mengingatkan anda agar mengurangkan makan daging terutama bahagian berlemak.
Namun satu fakta yang kurang diketahui bahawa protein pilihan anda boleh meninggalkan kesan terhadap alam sekitar. Daging dan produknya memerlukan jumlah bahan bakar, racun serangga dan baja kimia serta mengeluarkan gas-gas rumah-hijau.
The Environmental Working Group (EWG) menyatakan sekiranya anda kurangkan makan satu hidangan burger daging dalam seminggu, impaknya terhadap alam sekitar ibarat tidak memandu kereta sejauh 320 batu.
Daging juga mahal. Bandingkan 4 aun daging steak mengandungi 22 gram protein dan 9 gram lemak tepu ; 4 aun ikan salmon mengandungi 22 gram protein dan 2 gram lemak tepu serta lentil (sejenis kekacang) 1 cawan mengandungi 17.9 gram dan bebas lemak tepu.
Daging sememangnya enak dan mampu memuaskan selera makan tetapi sekiranya anda ingin berjimat dan mengamal diet berkhasiat serta prihatin terhadap alam sekitar, anda perlu mempertimbangkan pilihan sumber protein anda.