Pada awal 1950-an, ramai peminat pelakon Marlon Brando teruja apabila melihat aktor pujaan mereka hanya memakai baju-T berleher bulat dalam filem A Streetcar Named Desire. Itu dianggap permulaan gaya terbaru yang dipertontonkan dalam dunia hiburan pada zaman tersebut.

Pengaruh lakonan bintang filem Hollywood itu dilihat sebagai seksi walau hanya mengenakan baju-T sehingga membuat muda mudi mula terikut dengan fesyen berkenaan.

Lima tahun kemudian, aktor James Dean, pelakon yang paling ranggi pada masa itu memakai baju-T yang dipadankan dengan kemeja serta leher terbuka dalam filem Rebel Without Cause terbitan tahun 1955.

Gaya kasual James Dean dalam filem tersebut memukau peminat. Sekelip mata, fesyen ala James Dean itu terus meletup. Seluruh dunia terpengaruh dengan fesyen terbaru itu. Pada musim panas di Eropah, fesyen baju-T ala James Dean terus menjadi pilihan ramai.

Gaya Marlon Brando berbaju T dalam filem ini mula menjadi ikutan.
Gaya James Dean kemudian menjadi ikutan sehingga pemakaian baju T menjadi popular dan menguntungkan industri pakaian.

Sejak itulah baju-T yang merujuk kepada baju berleher bulat tanpa kolar menjadi salah satu industri paling menguntungkan di Amerika Syarikat. Bermula daripada pengaruh aktor tersebut, industri baju-T berkembang pesat hasil permintaan ramai sehingga ke seluruh Eropah. Fesyen itu seterusnya merebak ke seluruh pelosok dunia, dari Asia Timur dan Asia Barat sehingga ke Afrika.

Fesyen baju-T seterusnya menjadi lebih canggih apabila kumpulan hipi pada tahun 1960-an mencelup baju-T dengan teknik ikat. Apabila proses saring sutera menjadi lebih canggih, baju yang dicetak juga semakin laku. Pelbagai fesyen dikeluarkan tetapi industri baju-T tetap menguntungkan.

Di Amerika Syarikat sahaja misalnya, industri baju-T bercetak mencatat jualan lebih daripada satu billion dolar setahun.

Permulaan Baju-T

Sebenarnya, baju-T mula diperkenalkan sejak Perang Dunia Pertama lagi. Askar-askar Amerika di Eropah dibenarkan memakai baju berleher bulat dan nipis bagi menghadapi cuaca musim panas.

Sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua, baju-T menjadi suatu kebiasaan dipakai oleh askar-askar Amerika. Ia juga dibekalkan untuk tentera laut.

Baju yang tidak berbutang, tiada kolar dan saku, berleher bulat dan berlengan pendek ini awalnya dipakai oleh golongan pelombong dan pemunggah kargo sekitar tahun 1800-an sewaktu musim panas. Disebut baju-T kerana bentuk pakaian itu seakan hurut ‘T’.

Kemudian, baju ini mula dipakai oleh pekerja dalam pelbagai industri berat kerana ia mudah dipakai dan dicuci, serta harganya juga murah.

Selepas zaman perang dunia kedua berakhir, pemakaian baju-T mula tersebar meluas. Ia mula menjadi semakin popular sehingga diangkat sebagai salah satu fesyen popular setelah digayakan oleh Marlon Brando, James Dean dan diikuti artis-artis popular selepas itu.

Marlon Brando dan James Dean mempopularkan pemakaian baju T sehingga menjadi ikutan di seluruh dunia.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare