Sebagai ibu, pastinya anda pernah berdepan dengan sikap si kecil yang tiba-tiba ‘marah besar’ biarpun hanya berpunca dari hal yang kecil. Lebih merunsingkan apabila emosi marahnya semakin meledak dengan bertindak memukul atau melempar apa sahaja barang yang berada berhampiran dengannya.

Merungkai permasalahan ledakan emosi si kecil yang tidak terkawal ini, kebanyakan pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak menyatakan masalah tersebut berlaku disebabkan si kecil mengalami kekecewaan.

Oleh kerana kanak-kanak tersebut masih kecil, jadi rasa kecewa yang mereka alami itu tidak mampu diungkap dengan kata-kata atau ekspresi yang diinginkannya. Justeru, mereka bertindak demikian.

Dialami oleh kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga tiga tahun, kanak-kanak usia tersebut dikatakan sudah mengetahui banyak perkara. Sama ada melalui perkara yang didengari, dilihat atau dialami sendiri olehnya.

Namun, disebabkan halangan kemampuan bahasa atau bicara yang terbatas membuatkan mereka sukar mengungkapkannya.

Elak Guna Kekerasan

Tidak dinafikan, anak-anak dalam situasi ini biasanya tidak akan berhenti ‘mengamuk’ meskipun dipujuk. Apatah lagi jika ibu atau bapanya menggunakan kekerasan atau bertindak meninggalkannya sendirian.

Berdepan dengan emosi si kecil yang tidak terkawal ini, ibu bapa dinasihatkan supaya mengawal perasaan dan tidak bertindak melulu memarahi atau memukul anak. Ini kerana ia menyebabkan anak berasa anda telah mengabaikannya sekali gus mengundang rasa takut dalam diri mereka.

Percayalah, si kecil akan berasa lebih tenang sekiranya ibu atau bapanya berada dekat dengan mereka. Jika perlu, dukung atau peluk sehingga mereka berasa lebih tenang. Bertindaklah secara bijak, dalam waktu yang sama, berhati-hati dan jangan sampai menuruti permintaan atau kehendak si kecil yang tidak realistik atau tidak mampu anda terima semata-mata untuk meredakan ledakan emosi mereka.

Kejadian seumpama ini biasanya berlaku di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah di mana sewaktu mereka meminta sesuatu yang tidak anda penuhi. Pada waktu ini, anak mungkin akan ‘marah besar’ dan disebabkan tidak mahu menanggung malu, ibu bapa terpaksa menurut kemahuan si kecil dengan membeli apa yang dingini oleh anaknya.

Justeru, jika anak meminta sesuatu yang dianggap tidak realistik, sebagai ibu bapa kita seharusnya tegas dengan mengatakan ‘TIDAK’.

Apabila mereka marah atau bertindak di luar kawalan, bawalah mereka ke tempat yang agak terlindung dari orang ramai dan cuba tenangkan mereka. Selama si kecil belum tenang, jangan bertindak memberi nasihat atau memarahi mereka. Sebaliknya, cuba tenangkan mereka dengan berbicara lembut tanpa emosi atau dalam nada marah.