Soalan :
Sebelum ni saya tinggal berjauhan dengan keluarga. Pada masa tersebut, saya telah menjalinkan hubungan dengan teman lelaki hingga saya telah mengandung.
Saya telah meminta pertolongan dengan mak cik saya sehingga beliau meminta kami untuk berkahwin tanpa pengetahuan ayah saya. Sebenarnya mak cik saya pun takut jika perkara ni diketahui ayah kerana sifat ayah yang garang.
Setelah bersalin, saya diminta oleh mak cik untuk memberi hak penjagaan anak kepada orang lain. Rupanya dalam diam-diam mak cik saya sudah merancang untuk memisahkan saya dengan suami. Ini kerana mak cik tahu dan kenal sifat suami saya yang kaki perempuan.
Akhirnya saya dapat tahu suami saya telah berkahwin lagi. Oleh sebab itu, saya meminta untuk berpisah dengannya secara baik tetapi suami masih tidak menceraikan saya. Adakah ini disebabkan kami hanya berkahwin tanpa ada wali? Saya bingung, adakah perkahwinan saya dahulu sah di sisi agama?
Kini saya hidup sendiri tanpa anak di sisi dan saya ingin meminta bantuan bagi menguatkan semangat untuk hidup. Adakah jalan terbaik yang diredhai Allah untuk menyelesaikan masalah ini.
Jawapan :
Seorang manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan melakukan dosa, namun yg terbaik bila telah terlanjur ialah menyesali perbuatan dosa tersebut dengan bertaubat kepada Allah S.W.T.
Mengandungkan anak luar nikah sudah menjadi satu dosa. Bernikah tanpa wali yang sah juga adalah kesalahan kedua. Saya kurang jelas adakah saudari bernikah di sini atau di sempadan dengan sindiket. Saya membuat andaian pernikahan ini di sempadan dan melalui sindiket kerana jika melalui jabatan agama yang sah pastinya bapa akan diminta hadir sebagai wali.
Kesalahan ketiga menyembunyikan anak dan melepaskan tanggungjawab pada orang lain. Benar alasan takut pada ayah tapi ingatlah kita lebih perlu takut pada Allah s.w.t . Jika saudari mahu berpisah atau bercerai dengan suami pastikan yang saudari sudah bernikah secara sah juga dengannya. Jika bernikah di sempadan dan tidak didaftarkan maka dianggap tiada pernikahan yang wujud dan di sisi undang-undang saudari masih dianggap anak dara.
Jika bernikah dalam negeri tanpa wali yang sah pernikahan ini juga dikira batal dan tidak sah. Saudari tetap akan dipisahkan atau difaraqkan daripada suami jika dimaklumkan pada jabatan agama kerana wali tidak sah.
Mulakan hidup baru sekarang. Tiada pernikahan yang didaftarkan secara sah. Bertaubat pada Allah s.w.t. dengan sebenarnya, menyesal dengan perbuatan yang telah dilakukan. Mulakan hidup baru dengan cara yang baik. Jadilah wanita solehah yang sejati, pastinya saudari menemui ke tangan dalam hidup.