PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai ramai calon-calon yang mempunyai kelayakan untuk menjadi Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya merampas Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ia susulan ura-ura bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan kembali memimpin negeri tersebut tetapi kali ini mewakili PN jika menang.
Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, masih terlalu awal untuk menamakan calon Menteri Besar Selangor.
Bagaimanapun, beliau berpendirian bahawa mana-mana parti yang memasuki PRN bukan sahaja perlu menamakan calon Menteri Besar tetapi juga calon-calon barisan Exco.
Iskandar berkata, pengundi hari ini amat cerdik dan bermaklumat serta mahu mengetahui siapa yang akan menerajui pentadbiran jika sesebuah parti atau gabungan memenangi PRN.
“Ketika kita menunggu tarikh PRN, senario politik Selangor dikejutkan dengan spekulasi bahawa Mohamed Azmin akan kembali menjadi Menteri Besar tetapi kali ini mewakili PN.
“Respons saya kepada berita tersebut adalah terlalu awal untuk menamakan calon Menteri Besar dan terdapat ramai calon-calon lain juga layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Azmin calon Menteri Besar, PN yakin tawan Selangor
Mengulas lanjut, Iskandar berkata, amalan untuk hanya menamakan calon Menteri Besar dan barisan Exco selepas memenangi pilihan raya adalah amalan lapuk yang ketinggalan zaman.
Jelas beliau, ia juga tidak sesuai di negeri maju seperti Selangor.
Justeru, Iskandar menegaskan, setiap parti perlu menetapkan calon-calon yang berkemampuan untuk mentadbir negeri jika benar-benar serius mahu memenangi PRN.
“Kenyataan seperti ‘undi sahaja kami, nanti kami tahulah nak buat apa’ tidak lagi diterima dalam politik moden hari ini seperti mana telefon Nokia 3010.
“Ini penting terutama bagi negeri seperti Selangor yang merupakan pusat ekonomi negara dan dengan aset bernilai berbilion ringgit,” katanya.
Iskandar memaklumkan, majoriti pengundi bukanlah ahli sesuatu parti, jadi tidak memiliki sebarang sentimen dalaman yang lazimnya menguasai orang-orang parti.
“Mereka akan memilih calon-calon berdasarkan merit dan kadang-kala terdapat parti yang jahil terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi pengundi membuat pilihan.
“Jangan pula kita merasakan calon-calon kita hebat berdasarkan kerja-kerja mereka di dalam parti tetapi ditertawakan rakyat,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram