PENYANYI dan pelakon Aiman Tino mengesahkan bakal bernikah dengan kekasih hatinya, Syarah Haifa pada April ini.

Ujar Aiman atau Muhammad Aiman Yusri,25, dan Syarah,24, sepakat untuk mendahulukan majlis pernikahan manakala majlis resepsi akan berlangsung pada Jun atau Ogos depan.

“Insya-Allah pernikahan akan diadakan pada April nanti. Kita buat yang wajib dahulu. Majlis resepsi pula, sama ada pada Jun atau Ogos depan…tarikh, belum pasti lagi.

“Segala persiapan untuk majlis pernikahan pun sudah siap cuma tarikh sahaja belum ditetapkan lagi. Kemungkinan kami akan disatukan sebelum Ramadan,” katanya memetik laporan mStar.

Menceritakan bibit perkenalan yang bermula pada 2019, kata Aiman semuanya bermula apabila diperkenalkan oleh seorang rakan.

“Kami mula kenal dan menjalankan perniagaan bersama. Kemudian, kami jalinkan hubungan serius tak sampai setahun.

“Bila dah bertambah erat, kami pun tertanya, apa lagi yang dimahukan? Jadi, tak salah rasanya untuk melangkah ke fasa perkahwinan.

“Masing-masing pun sudah ada kerjaya dan semoga ikatan perkahwinan ini akan buatkan kami terus berjaya dalam perniagaan,” luahnya.

Aiman dan Syarah juga merancang untuk bertunang sehari sebelum hari pernikahan nanti.

Terdahulu, pada 21 Januari lalu, ibu Aiman iaitu Hazelina Mat Jalil memberitahu ada menghantar rombongan merisik ke kediaman keluarga Syarah.