DI Florida, Amerika Syarikat, sekitar tahun 1920-an, terdapat sebuah taman batu yang pernah digelar sebagai salah satu keajaiban dunia. Ini kerana ketulan-ketulan batu hampir 1.3 juta kilogram itu dibina dan diukir oleh seorang manusia sahaja, iaitu Edward Leedskalnin yang badannya hanya seberat 45 kilogram.
Edward lahir pada tahun 1887 di Riga, Latvia. Sewaktu berusia 26 tahun, dia bertunang dengan gadis yang dicintainya, Agnes Scuffs. Namun, Agness membatalkan perkahwinan mereka sehari sebelum majlis berlangsung.
Sedih dan kecewa, Edward membawa diri ke Florida, Amerika Syarikat. Lelaki berbadan kurus ini belajar setakat gred empat namun seorang yang sangat bijak dan mempunyai kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektrik serta elektromagnetik.

Edward mula membina taman batunya pada awal 1920-an, secara bersendirian. Ramai orang bertanya kepada Edward, bagaimana dia melakukannya. Edward hanya menjawab, “Senang saja. Rahsianya ialah kita kena tahu bagaimana hendak membinanya.”
Edward telah menulis lima buah buku dan dalam bukunya yang berjudul Magnet Current pada 1945, beliau menerangkan secara umum bagaimana pengetahuan dalam bidang hukum magnet dan elektrik telah membolehkannya membina istana tersebut.
Antaranya, kata Edward, saintis telah tersilap dalam menerangkan tentang daya tarikan magnet. Menurutnya, selain kutub utara dan selatan, magnet mempunyai satu lagi medan – iaitu partikel neutral.
Edward juga mendakwa telah menemui hukum anti graviti, berat, ukuran serta apungan. Dari penemuan inilah Edward mengetahui bagaimana masyarakat purba mampu membina bangunan-bangunan besar dan hebat daripada batu seperti Piramid di Mesir, serta bangunan-bangunan lain di Peru, Yucatan dan Asia dengan hanya menggunakan peralatan kuno.

Apa yang menimbulkan misteri ialah Edward hanya bekerja pada waktu malam. Ramai orang yang cuba mengintip Edward membina istana batu itu, tetapi lelaki itu seakan mempunyai pancaindera keenam. Dia akan berhenti jika ada yang mengintipnya dan hanya menyambung kerja selepas tiada sesiapa yang memerhatikannya.
Bagaimanapun, ada beberapa orang yang mendakwa pernah melihat sekali imbas Edward bekerja. Mereka mendakwa telah melihat batu-batu itu bergerak dengan sendirinya.
Ada juga yang melihat Edward menyanyi ke arah batu tersebut sambil meletakkan tangannya pada permukaan batu berkenaan, dan batu-batu itu bergerak perlahan-lahan. Tidak kurang juga yang mendakwa melihat ketulan batu-batu besar itu terapung seperti belon dan bergerak ke tempat yang diarahkan oleh Edward.
Edward mengenakan caj 10 sen kepada pengunjung yang mahu melihat binaan batunya yang juga digelar Rock Gate Park. Kemudian Edward akan menerangkan secara terperinci kepada para pengunjung tentang batu-batu yang telah diukirnya.

Antara yang paling mengagumkan pengunjung ialah sebatang tiang batu seberat lebih 30 tan, iaitu dua kali ganda lebih berat daripada batu piramid. Tingginya 13 meter. Batu ini diambil dan dipotong sendiri oleh Edward.
Edward juga akan membawa para pengunjung melihat sebuah kerusi goyang daripada seketul batu seberat tiga tan yang dipotong dan diukirnya sendiri. Kerusi batu itu boleh digerakkan dengan hanya menggunakan sebatang jari sahaja. Mereka juga dibawa Edward melihat tangga bulat yang diukirnya menggunakan seketul batu serta meja batu seberat lebih 2,200 kilogram.
Edward turut membina sebuah menara cerap setinggi lapan meter yang menghadap ke arah bintang utara. Turut dibina ialah replika bulan penuh dan bulan sabit. Malah dia juga mengukir batu membentuk planet Marikh dan Saturn. Batu-batu itu disusun atur secara astronomikal.
Begitu juga dengan `daun-daun’ pintu yang dibuat daripada batu seberat sembilan tan, yang ditebuk lubang dan dipasang rod penyambung serta gear, tetapi boleh dibuka dan ditutup oleh seorang anak kecil berusia lima tahun dengan hanya menolaknya menggunakan sebatang jari!
Pindah Lokasi
Suatu hari pada pertengahan 1930an, sekumpulan samseng yang percaya Edward ada menyimpan harta karun di dalam istananya, telah menyerang lelaki tersebut hingga cedera parah. Ditambah dengan rancangan pembangunan yang akan dijalankankan berdekatan kediamannya, Edward kemudian memindahkan taman batunya dari kota Florida ke Homestead, kira-kira 10 kilometer dari tempat asalnya.
Di Homestead, beliau membeli tanah seluas 10 ekar untuk dijadikan kediaman dan lokasi baru binannya itu. Edward mengambil masa selama 3 tahun untuk memindahkan istana batunya.
Edward mengupah trak besar bagi mengangkut batu-batu seberat lebih 1.3 juta kilogram itu. Kerja-kerja mengangkut itu dilakukan pada waktu malam. Namun, ramai tertanya-tanya bagaimana dia menaikkan dan menurunkan batu-batu tersebut.
Ada yang menceritakan, ketika hendak memasuk dan menurunkan batu itu dari trak, Edward menyuruh pemandu trak supaya memandang ke arah lain. Kerana itu tiada sesiapa yang nampak bagaimana lelaki ini melakukannya.

Pada Disember 1951, Edward menampal sekeping nota pada dinding istananya, memberitahu, “Saya pergi ke hospital.”
Hari itu Edward menaiki bas menuju ke Jackson Memorial Hospital, di Miami. Bagaimanapun, Edward meninggal dunia tiga hari kemudian kerana kanser perut di usia 64 tahun.
Selepas ketiadaan Edward, anak saudaranya mewarisi tanahnya termasuk binaan ajaibnya itu. Beberapa tahun kemudian, dia menjual tanah tersebut.
Setelah beberapa kali bertukar tangan, kini binaan hebat Edward berada di bawah jagaan National Register of Historic Places. Nama Rock Gate ditukar kepada Coral Castle pada tahun 2011, dan kini ia menjadi salah satu lokasi untuk pelancong.

Pada 1980-an, salah sebuah batu di pintu masuk istana berkenaan telah tumbang. Batu itu mempunyai paksi dan boleh berputar dengan mudah. Para kontraktor berjaya mengangkat batu berkenaan dengan menggunakan jentera berat, tetapi mereka gagal meletakkannya pada kedudukan asal – yang boleh berputar dan ditolak dengan hanya menggunakan sebatang jari seperti dilakukan Edward.
Coral Castle adalah lambang cinta Edward terhadap Agnes, gadis yang dicintainya. Dia membinanya dari tahun 1923 sehingga 1951. Ada yang menyamakan Coral Castle ini seperti Taj Mahal. Tak kurang juga yang mengaitkan pembinaannya seperti Stonehenge dan piramid.
Edward mengambil masa 28 tahun untuk membina karya agungnya ini, sehingga ke nafasnya yang terakhir. Rahsia bagaimana dia membina istana batunya itu terus menjadi misteri sehingga kini.



_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare