KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan siasatan membabitkan dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings yang dilaporkan media tempatan, hari ini.
Memetik laporan berhubung dakwaan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata penekanan khusus diberikan oleh KPT dalam perkara membabitkan nilai integriti dan tata kelola universiti.
Katanya, kementerian tidak akan berkompromi sekiranya berlaku pelanggaran dan ketidakpatuhan terhadap garis panduan dan undang-undang, sekali gus meminta pihak berkenaan memberikan kerjasama sewajarnya.
“Selain siasatan dijalankan, KPT akan membuat semakan dan penambahbaikan terhadap garis panduan yang ditetapkan berkenaan pengurusan syarikat pegangan universiti serta mengukur kepatuhan oleh syarikat berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, laporan akhbar bertajuk ‘UiTM Holdings rugi RM157 juta’ yang disiarkan media tempatan hari ini mendakwa, jumlah itu berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.
UiTM Holdings Sdn Bhd adalah syarikat pegangan pelaburan milik penuh UiTM yang menguruskan lapan syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi dan kreatif. – BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram