PENYANYI Shahrul Kamal meluahkan kekecewan terhadap stesen televisyen yang bersikap ‘pilih bulu’ apabila mengundang pempengaruh TikTok, Ratu Farah dalam program MeleTOP, semalam.

Shahrul yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 2015 (AF2015) mempersoalkan kredibiliti pihak stesen televisyen yang lebih cenderung memilih mereka yang mempunyai ramai pengikut di media sosial berbanding kualiti.

“Saya ini bekerja keras bertahun-tahun nak buat lagu yang ada kualiti. Kemudian nak promosi lagi di program TV yang ada rating tinggi seperti MeleTOP.

“Tapi, sayang. Selalu dapat jawapan ‘Nanti kami semak slot’. Apakan daya, kualiti begini yang ditagihkan,” ciap Shahrul di akaun Twitter miliknya.

Shahrul kecewa dengan sikap stesen televisyen yang lebih pentingkan rating berbanding kualiti

Shahrul menyuarakan perasaannya selepas menonton persembahan Ratu Farah yang popular di TikTok menerusi MeleTOP.

Menerusi ruangan balas di Twitter, rata-rata pengguna laman sosial terbabit menyokong apa yang diluahkan oleh pelantun lagu Maaf itu.

Malah, ada juga yang memberi kata-kata semangat kepada Shahrul agar terus bangkit menghasilkan karya-karya yang berkualiti.