Tan Sri Shahrizat Jalil

SPEKULASI yang meminta Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding semula sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan akan datang disambut baik dan mendapat dokongan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal menyatakan sokongan itu setelah melihat kredibiliti dan kelayakkan Shahrizat ketika menggalas jawatan tersebut sebelum ini

“Beliau (Shahrizat) berhak untuk bertanding kerana mempunyai reputasi sangat cemerlang dalam kepimpinannya terdahulu dan lebih terserlah ketika menjadi menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini.

“Dengan era kepimpinan yang lantang dan tegas dalam memartabatkan wanita, itulah yang diperlukan bagi mengukuhkan lagi UMNO untuk menghadapi cabaran akan datang,” katanya seperti dilapor Selangor Insight.

Ditanya mengenai status Shahrizat yang pernah dianggap liabiliti kepada UMNO susulan kes Pusat Fidlot Nasional (NFC), Jamal berkata, perkara itu telah pun selesai dan tidak membabitkan individu berkenaan.

Baca artikel lain: Kerajaan bincang calon Peguam Negara baharu

“Kes NFC itu hanya dakwaan kotor pembangkang terdahulu bagi menjatuhkan Shahrizat dan UMNO. Terbukti tiada kaitan, jadi tidak ada lagi tuduhan liabiliti UMNO yang tidak berasas itu,” tegas Jamal.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa UMNO merupakan sebuah parti demokrasi, jadi tiada halangan untuk ahli menyatakan cadangan malah sokongan kepada mana-mana individu yang dianggap layak.

Terdahulu, Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah mengeluarkan kenyataan seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat keputusan mendukung Shahrizat untuk bertanding.

Pemilihan UMNO bermula 1 Februari membabitkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri yang berlangsung hingga 26 Februari ini.

Sementara mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa UMNO bahagian bersama pemilihan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram