SOALAN :

Suami saya telah meninggal dunia tiga bulan yang lalu setelah terlibat di dalam satu kemalangan jalan raya. Arwah suami telah meninggalkan saya dan dua orang anak yang masih bersekolah di sekolah rendah. Dalam keadaan yang sedih dan pilu, saya mendapat surat dari bank bahawa pinjaman perumahan kami tidak dibayar selama empat bulan dan bank ingin melelong rumah kami.

Saya tiada keluarga kerana ayah dan ibu telah lama meninggal dunia dan saya merupakan anak tunggal. Saya berasa amat tertekan dan tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Saya tahu arwah suami ada sedikit simpanan ASB dan Tabung Haji tetapi saya tidak jumpa buku simpanannya. Saya juga tidak tahu menahu berkenaan dengan hartanya yang lain kerana beliau tidak pernah memberikan apa-apa dokumen kepada saya.

Bagaimanakah saya boleh mendapatkan semua maklumat ini dan apa yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan hak atau wang yang ditinggalkan oleh arwah suami? Selama tiga bulan ini, saya menggunakan wang banknya yang dikeluarkan melalui Kad ATM Bank dan jumlahnya semakin berkurangan. Harap Puan dapat membantu kerana saya sangat terdesak.

Asiah, Melaka.

JAWAPAN :

Maklumkan kematian suami kepada pihak berkaitan. Takziah saya ucapkan atas peninggalan suami yang tersayang. Sebagai ibu tunggal yang menjaga dua orang anak, Asiah perlu menguatkan semangat walaupun berasa sukar dalam keadaan yang sedih dan pilu ini.

Nasihat saya adalah seperti berikut:

Asiah perlu memaklumkan kepada pihak bank bahawa arwah suami telah meninggal dunia. Bawalah sesalinan sijil kematian ke alamat bank seperti di dalam notis yang diserahkan ke rumah Asiah.

Kebanyakan pinjaman perumahan adalah dilindungi oleh insurans yang dipanggil ‘Mortgage Reducing Terms Assurance’ (MRTA) dan sekiranya peminjam meninggal dunia, kesemua baki pinjaman akan dibayar oleh pihak insurans. Asiah perlu memaklumkan bank dan sekiranya pinjaman perumahan yang diambil oleh arwah suami dilindungi oleh insurans ‘MRTA’, Asiah tidak perlu membayar apa-apa ansuran pinjaman lagi.

Sekiranya suami bekerja semasa hayatnya, saya pasti beliau dan majikannya ada mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Asiah perlu memaklumkan pihak KWSP berkenaan kematian suami dan mengisi borang yang disediakan bagi membolehkan pihak KWSP mengeluarkan wang daripada simpanan KWSP arwah suami.

Bagi ASB dan Tabung Haji, Asiah perlu membawa sijil kematian arwah suami ke PNB dan Tabung Haji dan memaklumkan mereka berkenaan dengan kematian suami. Pihak ASB dan Tabung Haji hanya akan mengeluarkan wang simpanan kepada Pentadbir Harta Pusaka arwah suami atau benefisiarinya mengikut Sijil Faraid. Asiah perlu membuat permohonan melantik diri sebagai Pentadbir Harta Pusaka arwah suami. Permohonan ini boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil di Pejabat Tanah.

Dapatkan borang permohonan yang boleh diisi dengan mudah. Minta pertolongan daripada pegawai di pejabat pendaftaran Pejabat Pusaka Kecil tersebut. Mereka boleh membantu. Asiah perlu memohon supaya sijil faraid dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah untuk pembahagian harta yang ditinggalkan oleh arwah suami.

Permohonan ini juga mudah dibuat di Mahkamah Syariah yang berdekatan. Asiah akan dipanggil untuk Bicara Kuasa bagi pelantikan sebagai pentadbir di Pejabat Pusaka Kecil. Satu Perintah Pentadbiran dan Pembahagian Harta akan dikeluarkan oleh Pejabat Pusaka Kecil. Apabila Asiah dilantik sebagai Pentadbir, Asiah boleh membuat pindahan nama harta yang ditinggalkan oleh arwah suami kepada nama Asiah dan anak-anak.

Wang Simpanan di dalam KWSP, ASB dan Tabung Haji juga boleh dikeluarkan apabila perintah pentadbiran tersebut dikeluarkan.

Penulis merupakan Pengamal Undang-Undang, LLB (Hons) Nottingham University, Barrister-At-Law (Middle Temple (London))