KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengarahkan penggunaan Sistem Pengurusan Identiti (iDME) ditangguhkan hingga esok, untuk langkah membaik pulih sistem itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata justeru KPM berharap guru dapat bertenang seketika sebelum satu arahan baharu akan dikeluarkan pada Isnin depan.
Beliau berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan isu iDME walaupun ia adalah isu lama, malah KPM memberi perhatian hingga ke peringkat negeri.
“Sebenarnya dari awal, isu iDME telah menjadi perhatian kita dan KPM sentiasa mencuba sedaya upaya untuk memastikan segala perkara berkaitan sistem ini ditambah baik.
“Malah, kita sudah mengambil beberapa langkah drastik pada peringkat kementerian, dan semalam telah berlangsung sesi perbincangan dengan guru mengenai bagaimana sistem ini harus ditangani bersama.
“Saya sudah mengarahkan sistem ini ditangguhkan hingga hujung minggu ini supaya semua pihak boleh bertenang seketika sebelum satu arahan baharu akan dikeluarkan pada Isnin nanti,” katanya memetik laporan BH.
BERITA BERKAITAN KPM siasat dakwaan guru minta murid tukar agama
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Bakat Prasekolah Peringkat Negeri Sembilan 2023, di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di Seremban, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, bersama isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali; EXCO Pendidikan, Perindustrian dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek.
Fadhlina mengulas gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya kerajaan segera mempertingkatkan capaian pelayan web dan mengurangkan laman sesawang khas yang digunakan guru di seluruh negara.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang dilaporkan berkata, isu utama ketika ini adalah iDMe dan beberapa lagi sistem atau laman web diguna pakai guru, mengalami masalah capaian pelayan atau server yang begitu perlahan.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pegawai KPM pada peringkat negeri juga sudah diminta memberi bantuan berkaitan kepada guru di sekolah.
“Sistem iDME ini akan dibaik pulih secepat mungkin dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

