JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran yang didalangi warga asing dan menahan 36 individu dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, Khamis lepas yang dipercayai mengaut keuntungan sehingga RM2.88 juta.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi tersebut, pasukan operasi telah menyerbu tiga buah premis pusat hiburan dan rumah transit di Selangor serta Kuala Lumpur dan menahan suspek pelacur, pelanggan dan penjaga premis.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 27 wanita Indonesia, dua wanita Vietnam, empat wanita Thailand, seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pelanggan dan dua lelaki tempatan penjaga premis. Kesemua tahanan ini berumur antara 18 tahun hingga 34 tahun,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, hasil daripada risikan yang dijalankan, sindiket itu didalangi oleh seorang wanita warganegara Indonesia yang digelar sebagai “Mummy” yang berperanan menjaga dan menguruskan wanita-wanita warga asing menjalankan aktiviti pelacuran di beberapa buah premis hiburan.
“Wanita-wanita ini masuk ke Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial yang diberikan untuk tujuan melancong tetapi mereka menyalahgunakannya untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral di negara ini.
“Selain itu, turut dikesan ada antara yang ditahan menggunakan Pas Lawatan Sosial (Pasangan Kepada Warganegara), Pas Lawatan Sosial (Pengiring Kepada Pesakit), Pas Penggajian sebagai Spa Therapist, dan ada antara mereka memiliki dokumen (Akuan Penerimaan) bagi urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK),” katanya.
BERITA BERKAITAN Lapan pelacur antara 25 warga asing ditahan terlibat aktiviti pelacuran
Beliau berkata, hasil daripada aktiviti pelacuran ini, sindiket ini berjaya mengaut keuntungan dianggarkan sebanyak RM 2,888,000.
“Modus operandi sindiket ini ialah dengan menjanjikan pekerjaan kepada wanita-wanita warga asing yang diatur kemasukan ke Malaysia untuk dijadikan pekerja seks. Bagi urusan kemasukan wanita-wanita ini, mereka dipercayai perlu membayar antara RM 5000 hingga RM 6000 kepada pihak ejen,” tambahnya.
Hasil semakan melalui sistem JIM ke atas semua tahanan mendapati, terdapat lima orang warga asing yang terdiri daripada seorang wanita Vietnam dan empat orang wanita Indonesia yang berada dalam Senarai Hitam Jabatan.
“Mereka dipercayai telah memasuki negara melalui sindiket yang menyeludup kemasukan PATI ke negara ini,” katanya.
Terdapat juga wanita yang telah ditangkap dan ditahan sebelum ini dan masih di dalam perbicaraan di mahkamah. Melalui semakan yang dijalankan juga mendapati terdapat Cap Pas Lawatan Sosial (PLS) yang disyaki palsu yang dimiliki oleh warga asing tersebut.
Kadar bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan adalah dengan harga antara RM400hingga RM500 satu jam dan mereka beroperasi antara jam 10.00 malam hingga 3.00 pagi dan planggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram.
Turut dirampas adalah telefon bimbit, bungkusan kondom, pelincir, sex toys, kad akses bilik dan kunci premis. Notis untuk hadir memberi keterangan juga dikenakan kepada pelanggan warganegara Malaysia yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua yang diperiksa dan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor dan dua suspek warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan di bawah akta yang sama.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

