Ketika berlakunya peristiwa Israk Mi’raj, pada peringkat awal, Allah telah mewajibkan 50 waktu solat sehari semalam, namun berkurang sehingga lima waktu. Kenapa hanya lima waktu? Menghuraikan persoalan ini, menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roziah Sidik @ Mat Sidek, ia sejajar dengan kemampuan umat Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri. Pengurangan dari 50 kepada lima waktu menunjukkan jumlah penurunan yang sangat banyak.
Perkara ini diakui oleh Nabi Musa a.s. pada masa fardu solat itu berlaku. Nabi Musa a.s. mengatakan, menunaikan solat 50 waktu dalam sehari merupakan sesuatu yang berat atau susah bagi umat Nabi Muhammad s.a.w.
Sekaligus permintaan Nabi Musa a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. agar meminta Allah mengurangkan jumlah waktu solat itu, didasarkan pada keupayaan umat Nabi Muhammad s.a.w. untuk melaksanakannya.
Terang Dr. Roziah, kerana terlalu sayangkan umatnya, Nabi Muhammad s.a.w menerima saranan itu dan terus melakukan tawar menawar dengan Allah agar dikurangkan jumlah solat. Permintaan Baginda berulang sembilan kali, sehinggalah Allah mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat hanya lima waktu sehari semalam.
Walaupun Allah telah meringankan bebanan solat tersebut, tetapi Allah masih mengekalkan ganjaran pahala yang diterima iaitu tetap sama yakni 50 pahala.
Daripada Anas katanya, Nabi Muhammad bersabda “…(Selain dari apa yang aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku 50 sembahyang… lalu aku memohon kepada Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah berfirman, ‘Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap 50 (dari segi pahalanya), keputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jika dilihat realiti pada hari ini, nyata sekali perkara ini ada benarnya. Dalam keadaan solat yang difardukan hanyalah lima waktu sehari semalam pun, masih ramai yang mengabaikannya. Ini terbukti apabila banyak jenayah yang berlaku dikaitkan dengan orang beragama Islam.
Jika mereka menunaikan solat dengan sebenar-benar solat, sudah pasti mereka tidak akan terlibat dengan gejala negatif. Ini kerana solat yang dilakukan dengan betul dan sempurna akan mencegah pelakunya dari melakukan perkara-perkara mungkar.
Solat dua rakaat sebelum Israk Mi’raj
Menurut Dr. Roziah, solat yang dilakukan sebelum peristiwa Israk Mi’raj ialah solat malam (qiyam al-lail). Solat ini sebenarnya telah pun difardukan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat Baginda selama setahun sehinggalah ia diringankan menerusi penurunan ayat 1-3 surah al-Muzzammil.
Namun, ini bukanlah satu-satunya solat yang diamalkan pada waktu itu. Terdapat lagi solat lain yang menjadi amalan. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat Baginda mendirikan solat dengan bilangan waktu dan rakaat yang tidak tetap.
Berdasarkan satu peristiwa yang mana jin mendengar bacaan Nabi Muhammad s.a.w. ketika Baginda dan sahabat menunaikan solat fajar di pasar ‘Ukaz di awal kebangkitan Baginda. Ibn Hajar al-Asqalani menegaskan, tiada seorang pun yang mengingkari peristiwa tersebut.
Perkara itu dipersetujui Muhammad Ali al-Sabuni dengan menyebut perkara yang sama. Beliau menyatakan, Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat Baginda mendirikan solat dua kali sehari yakni solat fajar dan solat Asar dengan memperincikan jumlah rakaat bagi setiap solat tersebut ialah dua rakaat.
Adakah ia difardukan?
Adakah solat dua kali sebelum Israk Mi’raj ini difardukan atau hanya sebagai amalan sahaja untuk mendekatkan diri kepada Allah semata-mata? Jelas Dr. Roziah, menurut al-Hasan al-Basri, al-Syaabi dan Abu Umar bin Abd al-Barr, solat tersebut tidak difardukan.
Namun begitu, berbeza pula dengan pandangan Yahya bin Sallam dan Abu Ishaq al-Harbi yang menyatakan kedua-dua solat sebelum peristiwa Israk Mi’raj itu difardukan.
Dalam buku Konsep dan Pengamalan Solat: Satu Kajian Di Zaman Rasulullah, Sahabat dan Tabi’in, yang ditulis oleh Dr. Anisah Abdul Ghani, pandangan mengenai dua kali solat sebelum Israk Mi’raj adalah fardu berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Urwah bin al-Zubayr, bahawa Aisyah r.a berkata,

“Ketika difardukan solat, Allah memfardukan dua rakaat, semasa dalam solat hadr (tidak musafir) dan musafir. Ditetapkan solat musafir (dua rakaat) dan ditambah semasa solat tidak musafir.”
Yahya bin Sallam pula menjelaskan maksud difardukan solat dua rakaat menyebut, ia difardukan sebelum peristiwa Israk. Ibn Kathir juga menyebut tentang perkara yang sama apabila beliau menyatakan,
“Solat yang difardukan sebelum Israk dua kali iaitu sebelum naik matahari dalam waktu fajar dan sebelum jatuh matahari dalam waktu Asar. Qiam al-lail juga difardukan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya selama satu tahun, kemudian dinasakhkan kefarduan solat qiam al-lail itu daripada umatnya. Kemudian Allah menasakhkan kesemuanya di malam Israk dengan memfardukan solat lima waktu. Tetapi di antara lima waktu itu ialah solat Subuh dan Asar, yang mana solat Subuh dilakukan sebelum naik matahari dan solat Asar dilakukan sebelum jatuh matahari.”
Seperti firman Allah,
“Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu) dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.” (Al-Qaf: 39).
Perkataan bertasbih dalam ayat tersebut boleh memberi maksud solat atau maksud tasbih itu sendiri. Walaupun ayat ini Allah memerintahkan supaya Rasulullah bertasbih pagi dan petang, namun ia tidak menunjukkan solat pagi dan petang itu telah difardukan.
Tidak terdapat dalil yang jelas untuk membuktikan kebenaran pandangan bahawa dua solat sebelum peristiwa Israk adalah difardukan. Sebaliknya terdapat beberapa dalil yang menyentuh perkara tersebut namun tidak menyatakan secara jelas bahawa solat itu difardukan sebelum peristiwa Israk dan Mi’raj.
Apa pun sebaik kewajipan solat lima waktu diperintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w, bilangan rakaatnya hanyalah dua sahaja bagi setiap waktu. Pun begitu setahun selepas Nabi berhijrah ke Madinah, barulah bilangan rakaat itu ditambah menjadi empat bagi solat Zuhur, Asar dan Isyak. Manakala dua rakaat kekal bagi solat Subuh dan tiga rakaat bagi solat Maghrib.
Bagaimanapun tiada disebutkan kenapa bilangan rakaat berkenaan bertambah dari asal difardukan. Menurut Dr. Roziah, pertambahan rakaat berkenaan disokong oleh riwayat dari Aishah r.a yang menjelaskan,
“Solat difardukan, (baik) semasa hadr (tidak musafir) dan musafir, ditetapkan dua rakaat dan setelah Rasulullah berpindah ke Madinah, dan semasa menetap di sana, ditambah pada solat hadr, dua rakaat, kemudian dikekalkan solat fajar (2 rakaat) kerana bacaannya panjang. Begitu juga solat Maghrib, kerana ia adalah witir siang hari.”
_________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’