Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin sah bakal mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu bulan hadapan.

Pengumuman itu dimaklumkan Mohamed Khaled menerusi rakaman video yang dimuat naik ke Facebook beliau hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, beliau menawarkan diri untuk terus memegang jawatan Naib Presiden semata-mata untuk berkhidmat dan meneruskan bakti kepada UMNO.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu mengakui bahawa UMNO ketika ini tidak berada pada kedudukan terbaik, malah dianggap ‘jauh’ daripada orang Melayu.

“Dengan kesedaran itu, dengan tekad untuk mengembalikan semula kepercayaan yang hilang melalui usaha-usaha pemulihan dengan bekerja bersama-sama semua yang percaya bahawa parti yang lemah seperti parti kita pada hari ini haruslah kita sama-sama usahakan untuk bangkit kembali.

“Saya sedar berbekalkan kepada segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri saya, saya berharap mendapat keizinan semua agar dapat meneruskan ikhtiar untuk kita memeta semula perjalanan parti ini untuk masa kini dan akan datang,” katanya dalam video tersebut.

Baca artikel berkaitan: Pertandingan Naib Presiden dan ke bawah wujud persaingan sihat – Ahmad Zahid

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut berharap sokongan dan bantuan semua pihak dapat diterjemahkan untuk parti tersebut.

“Insya-Allah, segala sokongan dan bantuan yang diberikan oleh kepimpinan dan ahli parti di semua peringkat, kita akan dapat terjemahkan kerja keras ini demi agama, bangsa dan tanah air,” jelas beliau.

Pengumuman Mohamed Khaled itu menjadikan beliau pemimpin pertama yang mengesahkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad seperti dilaporkan media semalam memaklumkan belum ada mana-mana pemimpin yang mengesahkan diri bertanding bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden UMNO, beberapa hari sebelum tempoh pencalonan berakhir, Ahad ini.

Ketika ini, jawatan Naib Presiden disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled.

Mahdzir dilaporkan bakal mengesahkan penyertaan manakala Ismail Sabri pula masih belum membuat keputusan.

Beberapa nama lain turut dikatakan bakal merebut jawatan berkenaan termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selain itu, bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad turut mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram