Hukum menggantikan puasa ramadan
Sekadar gambar hiasan

Isu orang menggantikan atau mengqada’ puasa berlaku apabila mereka membatalkan puasa ketika di bulan Ramadan. Bagi memperjelaskan lagi hal ini, secara peribadinya Nik Rahim Nik Abdul Ghani, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan bahawa terdapat dua kelompok orang yang berbuka puasa semasa bulan Ramadan. Pertamanya orang yang berbuka tanpa uzur syarie.

“Untuk hal ini, ada sebahagian ulama seperti Ibni Taimiyyah yang menyebut berbuka puasa di bulan Ramadan tanpa ada uzur syarie, ia merupakan dosa besar. Maka hukumnya, seseorang itu haruslah bertaubat dan menyegerakan qada’.

Tetapi jika ingin disentuh tentang fadilatnya, terdapat satu hadis yang menyebut,

“Sesiapa berbuka satu hari pada bulan ramadan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Khuzaimah).

“Walaupun hadis ini lemah tetapi di sini saya ingin menegaskan bahawa sekiranya seorang itu berpuasa di bulan Ramadan dan dia berbuka tanpa uzur dan menggantikan pada bulan lain, fadilatnya sudah tentu tidak sama,” kata Nik Rahim.

Manakala kelompok orang yang kedua pula ialah yang dibenarkan syarak seperti orang yang uzur untuk berbuka pada bulan Ramadan. Berdasarkan surah al-Baqarah: 184 Allah berfirman,

“Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain).”

Ayat ini menunjukkan keharusan berbuka kerana mempunyai alasan syarak. Anas r.a. juga pernah meriwayatkan dalam sebuah hadis,

“Kami pernah bersama Nabi s.a.w. (dalam suatu perjalanan safar), maka di antara kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka. Maka, orang yang berpuasa tidak mencela yang berbuka, dan orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa.” (HR Imam Malik, Bukhari, Muslim dan Abu Daud). 

Keistimewaan wanita hamil dan menyusu

Selain disebabkan keuzuran dan musafir, wanita hamil dan menyusukan anak termasuk di dalam kelompok orang yang dibenarkan berbuka puasa pada bulan Ramadan. Hamil dan menyusu adalah alasan yang termasuk di dalam syarak dengan syarat mereka bimbang kepada mudarat akibat berpuasa.

Wanita hamil dan menyusukan anak mereka diberikan keringanan. Terdapat dalil umum di dalam isu ini,

“Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.” (HR al-Nasaie dan Ibn Majah). Hadis ini umum, namun ulama mengaitkan kemudaratan bagi orang yang hamil atau menyusu.

Dijelaskan juga bahawa ia terbahagi kepada dua kategori. Di dalam Mazhab Shafie, apabila seseorang wanita hamil atau menyusu berbuka puasa, dia berbuka kerana bimbang pada anak atau janinnya sahaja, maka dia perlulah mengqada’ puasa serta membayar fidyah.

Namun jika wanita hamil atau yang masih menyusukan anak itu berbuka kerana bimbang pada anak di dalam kandungannya beserta dengan dirinya juga, maka mereka perlu mengqada’ puasanya sahaja tanpa perlu membayar fidyah. Begitu juga jika turut bimbang akan keadaan dirinya sahaja, maka dia perlu mengqada’ puasanya sahaja.  

Jelas di sini jika wanita itu bimbang akan kesihatannya, maka dia harus berbuka. Malah terdapat beberapa pandangan ulama yang mengatakan hukumnya seolah-olah orang yang hamil dan menyusu ini dia qiyaskan dengan orang yang sakit di mana memberi mudarat dan masyaqqah.

Cuma hendaklah ditegaskan jika wanita tersebut tidak berasa sakit dan tidak memberi kesan kepadanya yang mana dia mampu dan kuat, wanita tersebut tidak boleh berbuka puasa.

Qada’ buat mereka yang telah meninggal dunia

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sesiapa yang mati dan ke atasnya puasa (belum diqada), maka hendaklah walinya berpuasa untuknya” (HR Bukhari dan Muslim).

Sudah jelas dimaksudkan di dalam hadis tersebut bahawa wali atau saudara mereka yang telah meninggal dunia hendaklah bertanggungjawab menggantikan puasa yang telah ditinggalkan.

Jika pun ahli keluarga dan saudara yang tidak mengetahui jumlah puasa yang telah ditinggalkan, mereka boleh menganggarkan sahaja dan berserah pada Allah Taala. Ada ulama juga yang berkata sekiranya ada ahli keluarga yang tidak mampu untuk menggantikannya, mereka boleh membayar fidyah.

Dan jika ahli keluarga tidak mengetahui jumlahnya yang tepat dan dapat mengagak kemungkinan ia jumlah yang banyak, mereka boleh menggantikan sedikit demi sedikit. Malah diberi kelonggaran lagi, jika seorang tidak mampu untuk melakukan seorang diri, ia boleh berkongsi dengan beberapa orang yang lain juga.

Walau bagaimanapun terdapat juga pandangan ulama mengatakan, si mati yang pernah meninggalkan puasa dan melewatkan menggantikan semasa hayatnya, maka ahli keluarganya perlu membayar fidyah.

Akan tetapi jika fidyah juga tidak mampu ditunaikan, mereka boleh gantikan dengan puasa. Jika ahli keluarganya tidak mampu menggantikan puasa mahupun membayar fidyah kerana menelan kos, mintalah ampun daripada Allah Taala. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Wallahu a’lam

_______________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’