hukum lelaki memakai serban
Sekadar gambar hiasan

 “Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak darinya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya.” surah an-Nur ayat 31.

Ayat ini secara jelas ditujukan kepada wanita, supaya mereka bertudung bagi menutup aurat, menjaga pandangan, serta memelihara diri dari perkara yang mengaibkan. Namun begitu, bagaimana pula dengan lelaki, adakah mereka perlu menutup kepala, sebagaimana yang biasa diamalkan Rasulullah s.a.w. dengan berserban atau berkopiah?

Jika kita perhatikan keadaan masyarakat kini, terdapat ramai lelaki yang juga menutup kepala sebagai mengikuti fesyen, namun tidak berserban sebagaimana yang diamalkan Rasulullah s.a.w. Jadi adakah pemakaian mereka ini, satu sunnah yang muttaba’ah (diikuti) dengan menutup kepala, atau hanya berstatus mubah (harus).  

Terdapat banyak jawapan, jika ditanya mengapa mereka menutup kepala. Ada yang mengatakan, untuk mengikut sunnah Nabi, menjaga kesihatan, mengelakkan dari bahaya atau juga secara suka-suka bagi mengikut perkembangan fesyen.

Dan jika ditanya mengapa tidak berserban sebagaimana Nabi s.a.w. ada pula yang beranggapan ia sebagai kolot, dan tidak relevan dengan zaman moden. Terdapat juga yang mengatakan, hanya orang yang alim seperti pak lebai, pak imam, ustaz atau ulama yang boleh memakainya. 

Mendalami permasalahan ini, sebelum kita membincangkan berkaitan menutup kepala bagi lelaki, terlebih dahulu kita perlu memahami dan melihat pada perbuatan Nabi s.a.w. dan hukum perbuatan tersebut.  

Menurut Imam al-Hafidh Ibn Hajar al-Asqolani di dalam kitabnya, Nuzhatu al-Nadhari Fi Taudhihi Nukhbati al-Fikar Fi Mustolah Ahl al-Athri, hadis atau sunnah ialah segala apa yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. dari percakapannya, atau perbuatannya, atau pengakuannya, atau pada sifatnya. Maka jelaslah kepada kita, yang dimaksudkan sunnah itu ialah, segala apa yang Nabi s.a.w. lakukan semasa hayat Baginda.

Apabila sudah memahami maksud sunnah, timbul pula persoalan, adakah menutup kepala ini dilakukan oleh Nabi s.a.w.? Menurut Imam al-Syaukani, menutup kepala adalah sesuatu yang disyariatkan. Manakala Abu Ishak pula mengatakan, sebahagian ulama muhaddisin menghukumkan sebagai mandub (sunat) sahaja.

Ajarlah anak tentang kelebihan menutup kepala terutama ketika solat

Oleh itu berserban merupakan suatu pemakaian yang menjadi muwazabah (mengekalkan sesuatu amalan dengan sekali-sekala ditinggalkan) oleh Nabi s.a.w. Kita boleh merujuk dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar, termasuk Bukhari yang membincangkan tentang Nabi s.a.w. memakai serban, atau menutup kepala mengikut keadaan tertentu.

Antaranya hadis daripada Jabir r.a.

Pada peristiwa Fathul Makkah, Rasulullah s.a.w. masuk ke kota Mekah dengan mengenakan serban hitam di kepala beliau.” (HR Tirmizi, Muslim & Abi Daud) dan ada yang mengatakan topi besi.

Dan juga hadis daripada Ibnu Abbas,

Sungguh, Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah di hadapan orang-orang dengan mengenakan serban hitam di kepala beliau.”(HR Tirmizi & Ahmad)

Sekalipun misalnya, mungkin dikatakan oleh mereka yang menolak pensyariatan serban sebagai sunat, hanya kerana tiada hadis yang sahih, bagi menunjukkan bahawa madhul hadis tersebut pada suatu tuntutan yang sunat atau wajib, atau hanya kerana ia adalah satu kebetulan adat masyarakat Arab, atau adat kemanusiaan, maka perhatikanlah berdasarkan apa yang dibincangkan dalam ilmu fiqah iaitu, serban adalah satu sunat dan sunnah yang masyru’. Bukan mengada-adakan hukum, bidaah atau harus.

Lantaran itu, boleh ditemui dalam ilmu usul fikah, satu kaedah iaitu, “berkekalan Nabi s.a.w. mengerjakan sesuatu perkara itu, memahamkan keafdalannya (kelebihannya).”

Dalam masa yang sama, menutup kepala bagi lelaki sebenarnya adalah sunnah yang sangat digalakkan, berdasarkan pada beberapa hadis sahih yang menunjukkan keperluan menutup kepala lelaki terutama berserban. Ini kerana serban merupakan pakaian yang digemari oleh Rasulullah s.a.w. dan merupakan sunnah dai’man (sunnah yang berterusan).

Hukum memakai serban adalah sunnah yang dituntut sesuai dengan hadis Nabi s.a.w.,

“Pakailah serban kerana ia adalah tanda Islam, dan membezakan seorang Muslim daripada seorang musyrikin.” (HR Tirmizi)

Selain itu Rasulullah s.a.w. turut menyatakan,

“Pakailah serban selalu kerana ia menambah kesopanan seseorang.” (Fathul Bari).

Menurut Syeikh Athiyah Saqr, serban hanyalah adat orang-orang Arab bagi memelihara diri mereka dari cuaca yang panas. Manakala Rasulullah s.a.w. memakai serban sebagaimana adat dan kebiasaan kaumnya.

Himpunan Fatwa Lajnah Daimah Lil Buhus Wal Ifta Arab Saudi pula mengatakan, etika berpakaian adalah termasuk dalam urusan adat dan bukan ibadat, maka tidak dilarang bagi seseorang lelaki dari memakai sebarang pakaian, selagi tidak bertentangan dengan syarak. Dan kepala lelaki bukannya aurat, tidak sebagaimana wanita.  

Tidak disunatkan untuk menutupnya sama ada semasa solat atau luar solat. Dan harus baginya memakai penutup kepala seperti kopiah atau serban. Dan boleh juga untuk tidak memakainya dalam solat atau tidak.

Oleh itu solat tetap sah, sekalipun tidak memakai kopiah atau serban sama ada imam ataupun makmum. Namun bagi memperoleh pahala dari sunnah Baginda, pakailah serban atau sesuatu yang menutup kepala.  

Surah al-A’raf: 31 menyebutkan

“Wahai anak-anak Adam, pakailah perhiasan kamu di setiap masjid (ketika hendak solat).”

Perlu difahami, Rasulullah s.a.w. memakai serban atau kopiah bukan atas tujuan memberi hukum, tetapi kerana berdasarkan adat kebiasaan kaumnya. Oleh itu, sesiapa yang memakainya adalah sebagai memuliakan Rasulullah s.a.w. dan yang tidak memakainya, atau memakai selain serban tidak tercela.

Oleh yang demikian, dalam bab menutup kepala ini, ia adalah sunat yang dituntut untuk melakukannya, tidak kira sama ada berserban, berkopiah, bersongkok atau apa sahaja, asalkan menutup kepala. Bagi memperoleh pahala dan keberkatan dalam melakukan amalan ini, maka hendaklah kita berniat untuk mengikut sunnah Nabi s.a.w. supaya amalan yang kita lakukan ini tidak menjadi sia-sia. Wallahu a’lam

_______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’