
KEMBARA Perpaduan Malaysia Madani yang merupakan salah satu inisiatif Belanjawan 2023 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilancarkan secara rasmi, hari ini.
Program yang dilaksanakan dalam usaha memperkasa agenda perpaduan negara dan integrasi nasional di bawah Ikhtiar 11 iaitu menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat itu telah dilancarkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Dataran Muzium Negara.
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan, Kembara Perpaduan Malaysia Madani diperkenalkan dengan matlamat menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap usaha kerajaan membangunkan Malaysia Madani.
Menurut kementerian itu, kembara berkenaan memayungi tiga kluster program yang berpaksikan kepada pencapaian objektif Dasar Perpaduan Negara.
Katanya, ia merangkumi penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuk pemimpin, agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil (CSO) dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Tiga kluster utama yang digariskan di bawah Kembara Perpaduan Malaysia Madani adalah program Semarak Kenegaraan yang memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui usaha memasyarakatkan Rukun Negara.
“Kluster kedua adalah program Semarak Perpaduan yang bertemakan ‘Merakyatkan Perpaduan’ bertujuan meraikan perbezaan dalam kepelbagaian melalui elemen seperti kebudayaan, pendidikan dan rekreasi.
Baca artikel berkaitan: Internet Pakej Perpaduan RM30 dijual mulai hari ini
“Kluster program ketiga pula adalah Komuniti Rahmah yang memberi fokus kepada pembinaan komuniti yang sejahtera dan harmoni meliputi aspek ekonomi, pendidikan, agama, kesihatan, kenegaraan, kebudayaan dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Aaron memaklumkan, kementerian itu akan menggerakkan keseluruhan agensi di bawahnya untuk menerajui pelaksanaan program dan aktiviti yang dirancang.
Beliau berkata, ia merangkumi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN); Jabatan Muzium Malaysia (JMM); Arkib Negara Malaysia (ANM); Perpustakaan Negara Malaysia (PNM); Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS); Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dan Yayasan Tun Razak (YTR).
Jelas Aaron, penglibatan jentera perpaduan khususnya KRT, Skim Rondaan Sukarela, Sekretariat Rukun Negara, Kelab Rukun Negara, Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan dan NGO Rakan Perpaduan juga akan diperkasakan bagi menyokong pelaksanaan setiap program dan aktiviti berkaitan.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, program di bawah Kembara Perpaduan Malaysia Madani akan menggunakan kaedah whole of government approach merentasi sempadan portfolio organisasi untuk mencapai matlamat pembangunan Malaysia Madani.
“Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani akan membawa impak yang besar kepada seluruh lapisan masyarakat dengan pelbagai pengisian program yang dapat memperkukuh jalinan muhibbah dan ikatan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Saya juga menyeru agar seluruh rakyat dapat terus menghayati konsep ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ dan mengamalkan nilai toleransi dalam membina masyarakat Madani yang bersatu padu dan berdaya saing,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram