Bekas wartawan, Mohd. Sidek Mohd Salleh kini hidup mencari sesuap nasi dengan menjadi pengawal keselamatan.

SEBAIK tiba di hadapan sebuah bangunan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, kelihatan seorang lelaki berbaju putih beruniform pengawal dan berseluar gelap sedang menyapu-nyapu membersihkan lantai di kaki lima.

Dari dalam kereta, saya memerhati sosok lelaki itu dengan rasa hiba. Itulah rupanya bekas seorang wartawan di sebuah akhbar Melayu besar dahulu bernama Mohd. Sidek Mohd Salleh, kini hidup mencari sesuap nasi dengan menjadi Pengawal Keselamatan atau ‘Pak Guard’, untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Hari saya hendak bertemu Mohd. Sidek, saya tidak memberitahu saya hendak menemuinya. Dengan berbekalkan alamat yang diperolehi, aplikasi Waze telah membawa kereta saya berhenti betul-betul di hadapan bangunan tempat Mohd. Sidek bertugas.

Sesampai di situ, saya hendak lekas turun dari kereta tetapi tidak jadi sebab ternampak sosok tubuh Mohd. Sidek sedang menyapu sampah. Terus saya perhatikan buat beberapa minit dari dalam kereta gelagat Mohd. Sidek.

Sungguh sedih dan luluh hati saya apabila melihat nasib wartawan ini yang telah saya kenali sejak 1979. Bagaimana seorang wartawan yang dahulu dikenali melalui beritanya kini melalui kehidupan yang susah dan perit.

Kisah bekas wartawan ini, yang hidup sebatang kara dan sedang mengidap sakit kanser usus tahap tiga, telah disiarkan oleh portal berita dalam talian bebasnews.my. pada awal Februari.

Berita itu ditulis oleh rakan wartawan juga iaitu Syahril Kadir. Saya terbaca dalam satu grup ‘WhatsApp’ sewaktu saya berada di luar negara. Sekembali saya ke tanah air, saya telah menghubungi beliau untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kedudukan Mohd. Sidek dan kisah nasib beliau ini.

Kisah nasib beliau ini telah saya terus panjangkan kepada seorang Menteri untuk perhatian beliau. Saya difahamkan usaha sedang dibuat oleh pihak Menteri berkenaan untuk membantu beliau.

Saya sebenarnya telah lama tidak berjumpa dengan Mohd. Sidek. Mungkin sudah 20 tahun lebih lamanya dan ketika berjumpa beliau pun, Mohd Sidek masih bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia.

Mohd. Sidek yang bersara dari Utusan pada 2010 pernah menjadi koresponden di London pada 1985, Ketua Biro Perak (1989), Timbalan Pengurus Perhubungan Awam (1995), Penolong Pengarang Mingguan Malaysia (1996), Penolong Ketua Penyunting (1997) dan Penolong Pengarang Utusan Melayu (2006).

Melihat pada pencapaian kerjayanya, siapa sangka penghujung kehidupan Mohd. Sidek sungguh menyedihkan pada komuniti wartawan atau industri kewartawanan.

Sedih bukan kerana tugasnya sebagai Pengawal Keselamatan. Tiada salah pada tugas itu. Memilukan kerana Mohd. Sidek yang kini berusia 67 tahun dan mengidap kanser, bekerja 12 jam sehari tanpa cuti mencari rezeki hidup!

Dengan upah kerja tidak lebih RM1,800 sebulan, termasuk upah lebih masa, Mohd. Sidek akan memandu kereta Proton Saga usangnya (yang dibelinya semasa bertugas di Perak) dari rumahnya di Bangi ke Kuala Lumpur setiap hari dari awal subuh dan pulang lewat petang atau malam.

Penulis bergambar bersama Mohd Sidek.

Baca artikel berkaitan: Banyak masa terbuang tempuhi kesesakan lalu lintas

Dengan gajinya itulah, beliau membuat potongan hutang kad kredit lamanya, menuang minyak dan membela kereta usangnya, membeli makan minumnya serta RM10 sehari membeli akhbar harian.

Saya tabik pada Mohd. Sidek, walau sudah bersara dan bertugas sebagai Pengawal Keselamatan, beliau melanggan lima akhbar harian – Utusan Malaysia, Sinar Harian, Harian Metro, The Star dan The Sun – dan tekun membacanya seperti seorang wartawan layaknya.

Walaupun sudah bersara dan tidak lagi ramai kenalan, Mohd. Sidek amat serba tahu tentang apa yang berlaku dalam negara atau mengenai pemimpin-pemimpin, serta mengikuti perkembangan rakan wartawan yang dikenalinya.

Menurutnya, ramai sudah kenalan wartawannya sudah meninggal dunia. Beliau mengetahuinya melalui bacaan akhbar-akhbar itu setiap hari.

Akhbar Mohd. Sidek, Utusan Melayu (Malaysia) yang asal sudah lama ditutup pada 2019. Bagaimana dengan nasib wartawannya? Begitu juga dengan akhbar-akhbar besar lain yang juga ditutup. Apa sudah jadi pada kehidupan mereka hari ini.

Tetapi saya pasti, selain Mohd. Sidek tiada lagi bekas atau mantan wartawan yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan. Sekurang-kurangnya yang saya tahu ramai menyumbang kepakaran mereka di bidang yang sama atau berkaitan untuk majikan baru atau mereka sendiri majikannya.

Memang nasib wartawan di Malaysia tiada siapa yang membela atau hendak membela. Wartawan Malaysia bila bersara hanya meninggalkan nama (itu pun jika ada nama) atau hilang tanpa dikesan.

Sedikit sahaja jumlah wartawan di Malaysia yang berduit dan berharta. Mereka boleh dibilang dengan jari.

Yang agak bernasib baik ialah wartawan yang bekerja dengan agensi berita Kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). Sebagai pesara Kerajaan mereka diberikan bayaran pencen setiap bulan. Dapatlah mereka meneruskan kehidupan dengan agak selesa.

Mereka yang tidak berpencen terpaksa terus bekerja kerana mereka tahu wang simpanan termasuk dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja satu hari akan habis terutama dalam waktu kos kehidupan semakin mahal.

Jadi siapa yang akan membantu atau menjaga nasib kebajikan bekas wartawan apabila mereka bersara atau hilang pekerjaan akibat penutupan syarikat media mereka.

Saya mendapat tahu ada usaha sedang dibuat oleh beberapa kalangan wartawan yang masih berkhidmat dan sudah bersara untuk menubuhkan satu persatuan untuk wartawan di Malaysia, mungkin digelar ‘Persatuan Wartawan Malaysia’ tidak lama lagi.

Kita berharap persatuan ini jika berjaya ditubuhkan menjadikan usaha menjaga kebajikan nasib wartawan sebagai salah satu teras perjuangannya. Seperti orang sering berkata “kalau bukan kita, siapa lagi yang akan menolong diri kita”.

Dalam dua tiga minggu lagi, Mohd. Sidek akan menjalankan pembedahan di Hospital Besar Kuala Lumpur untuk membuang ususnya yang rosak. Kita doakan yang terbaik untuk beliau semoga selamat menjalani rawatan.

Bagi rakan-rakan beliau dan pembaca yang ingin membantu Mohd. Sidek bolehlah menyumbang melalui akaun peribadinya di Maybank bernombor: 114013013348 (Mohd SIdek Mohd Salleh).

Penulis merupakan mantan Ketua Pengarang Bernama 2014-2019. Mula menyertai Bernama sebagai wartawan pada 1980. Berkhidmat dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1992 hingga 2003 sebagai Penolong Setiausaha Akhbar dan kemudian Setiausaha Akhbar.

Pernah melalui pengalaman sebagai Ketua Biro Bernama Pulau Pinang, Sarawak dan Koresponden Singapura selain sebagai Pengarah Eksekutif anak syarikat teknologi maklumat Bernama Systems and Solutions Advisor (Bessar) yang kini dipanggil UXERA.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram