
OLEH: SHAHBUDIN EMBUN
SEORANG penulis Inggeris John Heywood, pernah menulis Rome wasn’t built in a day, but they were laying bricks every hour. Ungkapan ini merupakan satu peringatan bahawa untuk membina sesuatu yang baik, memerlukan masa dan kesabaran.
Dalam dunia politik pula, adalah difahamkan, ayat “100 hari pertama” bermaksud untuk menilai keupayaan sesuatu kerajaan yang baharu dalam tempoh 100 hari. Tradisi ini bermula semasa Franklin D. Roosevelt mula menjadi Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1932 dahulu, iaitu ketika Amerika Syarikat sedang mengalami zaman kemelesetan ekonomi.
Ketika itu, beliau sedang cuba melakukan pelbagai perubahan positif untuk mendatangkan kebaikan kepada ekonomi Amerika Syarikat dalam masa 100 hari . Sejak itu, semua prestasi Presiden Amerika Syarikat telah dinilai dalam masa 100 hari pertama pemerintahan. Bukan itu sahaja, amalan ini telah menjadi ikutan presiden selepas itu dan juga para pemimpin dikebanyakan negara.
Namun adakah itu merupakan satu gambaran atau persepsi yang sebenar untuk menunjukkan prestasi dan keupayaan sesuatu kerajaan baharu itu? Atau adakah ini hanya mainan media untuk terus mencipta pelbagai lagi isu bagi terus menghangatkan lagi suasana politik di negara kita?
Itu sebabnya mungkin adalah terlalu awal untuk kita menilai keupayaan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini.
Jika kita imbas kembali, sebelum hari pertama Anwar mula bertugas di Putrajaya, beliau sudah menyatakan secara konsisten bahawa barisan Kabinet yang bakal dibentuk tidak akan membuang masa dan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang bakal dipikul.
Bagi Anwar, tidak ada pengertian tempoh bulan madu kerana semua rakan sekerjanya mendapat mesej yang jelas supaya terus komited dan bekerja dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh dalam menetapkan parameter yang betul yang berhubung dengan tadbir urus negara.
Bahkan sejak dari dahulu lagi, Anwar sering menegaskan bahawa mentadbir dengan penuh amanah, bebas daripada amalan rasuah, ketirisan, salah kuasa serta meletakkan integriti sebagai asas utama dalam pentadbiran merupakan elemen yang wajib ada dalam sesebuah kerajaan itu.
Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujudnya ketirisan hampir RM3 bilion meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur.
Jika masalah rasuah dan ketirisan dapat dikawal, ia bukan saja dapat menyelamatkan harta negara, tetapi juga memberikan faedah yang melimpah kepada rakyat semua. Bukan itu sahaja, ia juga dapat memikat para pelabur asing untuk terus membuat pelaburan di negara kita.
Kita tidak boleh menafikan betapa serius dan komited Anwar serta barisan Kabinetnya dalam memerangi rasuah . Lihat sahaja pada siasatan terhadap beberapa kes yang sedang berjalan sekarang . Ini membuktikan pentadbiran beliau menangani masalah ini, bukan sahaja omomg kosong dan menaburkan harapan palsu tetapi terus melaksanakan apa yang dijanjikan.
Namun adakah usaha mentadbir dengan melawan rasuah, menegakkan keadilan, memantapkan integriti dan menyerapkan nilai-nilai murni sudah cukup untuk meyakinkan rakyat yang Kerajaan Perpaduan kini berada di landasan yang betul?
Nampaknya elemen-elemen ini tidak cukup lagi !Ini berdasarkan kaji selidik tentang prestasi kerajaan 100 hari yang telah dijalankan oleh lima media arus perdana dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research dan melibatkan 35,077 responden.
Jika dipandang keputusan kaji selidik ini, nampaknya sukar untuk kita menyatakan yang majoriti berpuas hati dengan kerajaan sekarang. Pada masa yang sama juga kita tidak boleh membuat kesimpulan yang kerajaan sekarang ini gagal.
Walaupun terdapat pihak yang mempertikaikan kesahihan serta motif kaji selidik ini, Kerajaan Perpaduan juga tidak boleh menutup mata dan telinga.
Dalam isu ini, sememangnya pasti ramai yang berpendapat kerajaan perlu melakukan usaha yang lebih khasnya dari segi menangani masalah sara hidup harian. Itu sebabnya, kritikan dan komen rakyat yang terdiri daripada pelbagai golongan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.
Dalam hal ini, setiap pemimpin, kementerian dan mereka yang terbabit perlu mengambil tanggungjawab untuk memberi perhatian kepada kritikan yang dilontarkan agar terus dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik dan penuh tanggungjawab.
Untuk bersikap adil, sebenarnya banyak usaha murni dan baik yang telah dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan. Antaranya ialah memperkenalkan Menu Rahmah yang merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang digerakkan oleh peniaga (Private Driven Initiative) dan dilakukan secara sukarela.
Inisiatif Pendapatan Rakyat pula telah dilancarkan untuk membantu golongan miskin tegar serta dari golongan B40. Dan pastinya Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru baru ini ternyata bersifat dinamik dan tidak statik bagi memastikan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Kementerian Kewangan (MOF) juga telah memaklumkan bahawa syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah bersetuju untuk membayar RM8.06 bilion (AS$1.8 bilion) kepada kerajaan Malaysia.
Bayaran ini melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali gus menamatkan pertikaian kedua-dua pihak di mahkamah berhubung skandal 1MDB.
Ya, sebenarnya kita boleh senaraikan banyak lagi usaha baik yang telah dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan sejak memegang tampuk pemerintahan.
Perdana Menteri ke-10 ini ternyata begitu bersemangat untuk membangunkan semula negara kita dan membersihkan negara ini daripada rasuah, ketirisan, dan rompakan harta negara yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
Usaha ini pastinya memerlukan masa dan kerjasama dari kita semua. Rakyat telah menaruh kepercayaan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan kita mesti yakin segala usaha baik yang sedang dijalankan ini akan memacu Malaysia ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.
Penulis adalah penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik Dan Kepimpinan Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare