PELAKON Aeril Zafrel berpendapat sebagai seorang manusia, kita tidak sepatutnya bersikap kasar dengan individu lain.
Ujar Aeril, melakukan kekerasan terhadap manusia lain terutamanya wanita serta anak-anak adalah perbuatan yang akan memberi kesan trauma kepada emosi mereka.
“Sebagai manusia, kita tak diajar untuk berkasar dengan perempuan apatah lagi dengan sesama insan. Perkara ini tak patut berlaku sebenarnya dalam kalangan komuniti kita.
“Kalau saya sedang marah, saya tak akan sesekali angkat tangan dengan isteri dan anak-anak,” katanya kepada URTV.
Aeril berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri Hijabistahub & Soultan Royale di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru ini.
Pernah alami trauma waktu kecil
Membesar dalam keluarga yang bersikap tegas, Aeril mengakui berdepan pengalaman trauma kerana sering dipukul dan dimarahi oleh bapanya yang garang.
Justeru, selepas dia sudah memiliki keluarga sendiri, dia tidak mahu mengamalkan sikap demikian terhadap anak-anak kerana bimbang mereka juga akan mengalami kesan sama sepertinya.
“Saya pernah trauma, dulu ketika kecil, bapa saya terlampau garang. Biasalah orang kampung dulu-dulu (didikan). Kadang-kadang berdarah kena pukul.
“Jadi, saya berjanji takkan buat perkara sama kepada orang terdekat dengan saya, terutamanya anak-anak kerana saya pernah mengalami situasi itu.
“Saya sebagai anak kecil waktu itu rasa sangat tak selesa. Malah, dalam rumah saya pun, saya takkan berkasar, mahu pun kepada pembantu rumah saya,” jelasnya.
Banyakkan Istighfar
Kongsi Aeril yang juga suami kepada pelakon Wawa Zainal itu lagi, dia akan cepat mengawal situasi dan berselawat sekiranya sedang dalam keadaan marah.
Katanya lagi, sebagai seorang suami dan bapa, dia perlu bijak untuk mengawal situasi kerana tidak mahu menyakiti insan tersayang.
“Saya ini orangnya tegas dan garang tapi untuk sampai tahap menjerit-jerit, angkat tangan, saya tak adalah sampai ke tahap itu.
“Mungkin saya tak diuji lagi sampai ke tahap itu tapi Alhamdulillah, kalau marah macam mana pun saya akan cepat-cepat Istighfar.
“Tapi itulah, saya sendiri pun tak tahu. Lain orang, lain ujiannya,” ungkapnya.