SUATU malam pada tahun 1936, seorang lelaki bernama Sylvan N. Goldman dari Oklahoma duduk termenung atas kerusi di bilik pejabatnya.  Beliau termenung sambil memikirkan cara hendak melariskan jualan di pasar raya miliknya, Standard Food Markets.

Lelaki berusia 38 tahun itu puas berfikir. Apa perlu dia buat supaya orang ramai berbelanja besar di kedainya selain memudahkan mereka membeli barang dalam kuantiti banyak supaya dia memperoleh keuntungan?

Selain pelanggan dapat membeli dengan banyak, dia mahu ada alat yang membantu memudahkan urusan pembelian dan tidak meletihkan pelanggan. Selama ini, pelanggan yang datang membeli belah harus membawa bakul atau plastik. Apabila sudah berat dan sukar hendak menjinjing, pelanggan mula berhenti membeli atau mengurangkan jumlah barang belian.

Goldman mula memikirkan pelbagai idea. Macam-macam cara difikirkannya tetapi tidak satu pun yang bagus. Sedang termenung, dia terpandang sebuah kerusi lipat kecil di dalam biliknya. Secara tiba-tiba dia mendapat satu idea yang sangat hebat. Hatinya berkata, “Inspirasi datang kepada saya dengan begitu hebat sekali.”

Lantas dia bangun, mencapai dua buah kerusi lipat lalu meletakkan kedua-dua kerusi itu sebelah menyebelah. Goldman terfikir, jika dia mencantumkan kedua-dua kerusi, lalu menambah roda di bawahnya dan meletakkan bakul di atasnya, dia akan mendapat sebuah kereta sorong yang mudah ditolak. Seperti kerusi itu, kereta sorong tersebut mestilah boleh dilipat supaya mudah disimpan.

Kemudian idea itu dikembangkan dengan bantuan seorang mekanik bernama Fred Young. Hasil gabungan idea mereka berdua yang mengambil inspirasi daripada kerusi lipat, dan melakukan penambahbaikkan, maka terhasil sebuah troli yang mempunyai bakul dan empat buah roda di bawahnya supaya mudah digunakan.

Daripada kerusi lipar, Goldman mendapat idea untuk mencipta troli yang memudahkan pelanggan untuk membeli belah.

Pada 4 Jun 1937, kumpulan pertama troli tersebut sedia digunakan di pasar raya milik Goldman. Namun pengenalan troli tersebut sangat menghampakan. Pelanggan-pelanggan yang sepatutnya berasa teruja untuk mencuba ciptaan barunya itu mengelak untuk menggunakannya. Pelanggan berasa jelik. Mereka berpendapat sekiranya menggunakan troli tersebut, mereka akan dianggap lemah dan malas.

Sekali lagi Goldman terpaksa memikirkan cara bagaimana untuk menarik pelanggan menggunakan perkhidmatan yang disediakan secara percuma itu. Puas berfikir, dia mendapat idea baru.

Goldman telah mengupah beberapa orang untuk menolak kereta sorong itu di dalam kedainya dan berlagak sebagai pelanggan yang sedang membeli belah. Barang-barang yang dibeli akan dimasukkan ke dalam troli tersebut. Ternyata idea tipu helahnya itu berhasil.

Tidak lama selepas itu, pelanggan sebenar mula meniru pelanggan-pelanggan yang menyamar ini.  Sejak itu, hasil ciptaannya mula diterima oleh masyarakat setempat kerana mereka didapati troli itu memudahkan mereka semasa membeli belah terutama melibatkan barang yang berat dan kuantiti yang banyak.

Pada tahun 1938, Goldman mendaftarkan paten ciptaannya itu. Sejak itu, hasil ciptaannya yang datang tanpa disangka ini mula menarik minat pasar raya lain untuk menggunakannya.

Itulah permulaan kepada troli yang sering kita gunakan sewaktu membeli belah di pasar raya pada zaman sekarang. Ternyata, ia memudahkan kita sewaktu melakukan pembelian. Malah, idea Goldman itu diterima pakai di seluruh pasar raya besar di seluruh dunia.

Idea Goldman akhirnya mendapat sambutan dan diterima pakai di seluruh dunia.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare